TERKINI

Putra Gesa PMX Adakan Perhimpunan Terbesar Kutuk Regim Zionis

Zarina Zainal Abidin (gambar) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 17 Okt 2023 – Parti Putra mencadangkan kerajaan perpaduan untuk menganjurkan perhimpunan secara besar-besaran sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk tindakan Zionis ke atas Gaza.

Ahli Dewan Tertinggi parti Putra, Zarina Zainal Abidin berkata inilah masanya semua pihak merapatkan saf melangkaui perbezaan politik untuk bersama dan mengutuk kekejaman regim Zionis.

“Inilah masanya kita semua merapatkan saf demi 1 matlamat yang sama dengan menolak ke tepi segala bentuk perbezaan ideologi politik mahu pun ketidaksamaan dari segi sosial.

“Apa yang lebih penting pada tika dan saat ini ialah kesemua ketua-ketua dari blok kerajaan, pembangkang, atau kuasa ketiga seperti PUTRA serta NGO senada menunjukkan empati yang tidak berbelah bahagi atas dasar prinsip kemanusiaan untuk mereka di bumi Gaza.

Menurut Zarina lagi, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim perlu menjadi suara paling lantang mengutuk dengan keras tindakan Zionis tersebut di barisan paling hadapan bagi mewakili negara.

“Putra dengan penuh pengharapan dan mengesa agar Perdana Menteri ke-10, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim menjadi suara paling lantang menyatakan pendirian beliau untuk sama-sama menyelar dan mengutuk dengan keras tindakan Zionis Laknatullah tersebut di barisan paling hadapan bagi mewakili negara kita Malaysia.

“Sudah sampai masanya PMX berdiri di barisan saf paling hadapan bagi mewakili kami di negara ini walaupun mungkin inilah selemah-lemah tindakan yang boleh dibuat bagi membantu para pejuang di Palestin.

“Ayuh, PMX! Gunakan kuasa kepimpinan anda untuk bersolidariti bersama-sama dengan mengumpulkan kesemua yang disebutkan tadi atas dasar yakni tidak lain dan tidak bukan kerana kita semua adalah manusia. Ujar beliau.

Pada 7 Oktober lalu, Hamas melakukan serangan mengejut terhadap Israel. Rejim Israel kemudian melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.

Tindak balas Israel diperluas kepada pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza, memburukkan lagi keadaan hidup di kawasan yang bergolak kerana sekatan ketat Israel sejak 2007.

Seminggu selepas serangan balas Israel, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan angka kematian di wilayah itu meningkat lebih 2 ribu orang. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp