TERKINI

PUTRA Persoal Sikap PM Dalam Isu Azam Baki

11 Feb – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mempersoalkan sikap Perdana Menteri yang didakwa terus berdiam diri berhubung kontroversi pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, meskipun pendedahan terbaharu menunjukkan pemilikan saham itu melebihi had dibenarkan bagi penjawat awam.

Ketua Penerangan PUTRA, Shahrulufti Sharif berkata, pendedahan berdasarkan rekod rasmi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membuktikan isu tersebut bukan lagi khabar angin, sebaliknya melibatkan fakta hitam putih yang menuntut tindakan segera daripada kerajaan.

Menurut beliau, peraturan perkhidmatan awam menetapkan had pemilikan saham sekitar RM100,000, namun jumlah yang dikaitkan dengan Azam Baki didakwa mencecah jutaan unit saham.

“Ini bukan isu teknikal atau salah faham pentadbiran, tetapi soal integriti dan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Shahrulufti turut mengkritik pendekatan Perdana Menteri yang didakwa terus berlindung di sebalik alasan klise seperti “akan disiasat” atau “sedang diteliti”, yang menurutnya telah berulang sejak era beberapa Perdana Menteri terdahulu. PUTRA menegaskan rakyat semakin muak dengan jawapan sedemikian tanpa tindakan tegas dan jelas.

Dalam nada sinis, PUTRA mempersoalkan sama ada negara ini terlalu lemah sehingga Ketua Pesuruhjaya SPRM masih kekal memegang jawatan walaupun dibayangi kontroversi serius, atau wujud ketakutan politik kerana isu rasuah turut menghantui pentadbiran semasa.

“Jika isu Azam Baki tidak mampu diselesaikan walaupun Perdana Menteri silih berganti, rakyat berhak bertanya siapa sebenarnya yang sedang dilindungi,” tegasnya.

Sehubungan itu, PUTRA mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu Perdana Menteri perlu segera merehatkan Azam Baki daripada jawatan sehingga siasatan bebas selesai, menjalankan siasatan menyeluruh dan telus oleh badan bebas, serta membuktikan komitmen kerajaan bahawa tiada sesiapa kebal daripada undang-undang, termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM.

PUTRA menegaskan isu ini melangkaui soal individu dan menyentuh maruah negara, sambil memberi amaran bahawa selagi kontroversi ini tidak diselesaikan secara tuntas, imej Malaysia di mata rakyat dan masyarakat antarabangsa akan terus tercalar. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp