TERKINI

SC saran generasi muda sertai pasaran modal

Gambar hiasan – foto Berita Harian

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2023 – Malaysia memerlukan lebih banyak generasi muda untuk melabur dalam pasaran modal bagi memastikannya kekal bertenaga, menurut Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Seri Awang Adek Hussin.

Beliau berkata setakat ini pelabur berusia 45 tahun ke bawah hanya menyumbang sebanyak tujuh peratus daripada jumlah pelabur di pasaran saham, manakala golongan berumur 20 hingga 30 tahun diramalkan lebih rendah.

Menurutnya dalam industri broker saham misalnya, kebanyakan remisier berumur 50 tahun ke atas.

“Industri pasaran modal memerlukan suntikan kelompok baharu seperti generasi muda sama ada sebagai pekerja mahupun pelabur.

“Kita memerlukan eksekutif muda untuk menarik pelabur muda memandangkan mereka lebih pintar dari segi teknologi dan memahami antara satu dengan lain,” katanya dalam ucapan perasmian bermulanya kohort pertama Program Kepimpinan InvestED 2023 di sini hari ini.

Program Graduan Pasaran Modal, dikenali sebagai InvestED yang diteraju SC meliputi modul pembelajaran komprehensif dan interaktif selama sebulan, diikuti dengan latihan sambil bekerja untuk tempoh enam bulan dengan rakan investED daripada industri pasaran modal.

Maklum balas terhadap kohort pertama program ini adalah sangat menggalakkan dengan penerimaan lebih 2,000 permohonan.

Bagaimanapun, hanya 200 orang terpilih untuk menjalani modul pembelajaran selama sebulan di Asia School of Business (ASB).

Awang Adek berkata investED adalah kerjasama strategik buat julung kalinya antara SC, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), industri pasaran modal dan universiti yang bertujuan membangunkan bakat-bakat mampan dalam pasaran modal.

“Kerjasama SC dengan ASB hari ini akan menguatkan lagi kredibiliti program dan memperkukuh komitmen kami untuk melengkapkan peserta program dengan ilmu industri pasaran modal yang diperlukan agar bersedia di pasaran.

“Kami melihat inisiatif ini penting kepada industri yang mempunyai mobiliti bakat dan permintaan yang tinggi seperti pasaran modal,” katanya.

Beliau berkata kepakaran dan sumber ASB akan meningkatkan pengalaman pembelajaran kepada peserta program, di samping memastikan mereka menerima pemahaman yang menyeluruh dalam pasaran modal dan selok-beloknya.

“Saya berharap para peserta akan membangunkan kualiti kepimpinan yang teguh, sikap yang baik terhadap pekerjaan, kemahiran komunikasi yang efektif dan sedikit pemahaman asas dalam industri,” katanya.

Awang Adek berkata program itu akan dijalankan selama tiga tahun dan kesannya akan lebih dirasai pada beberapa tahun akan datang.

Pada acara sama, Pengerusi SC juga mengumumkan bagi pihak Persatuan Syarikat-syarikat Broker Saham Malaysia bahawa syarikat broker saham telah bersetuju untuk memperkenalkan satu skim pengangkatan.

“Berdasarkan skim itu, setiap syarikat akan mengambil sebuah universiti untuk merancang dan bekerjasama dengan penuntut serta pensyarah bagi meningkatkan pemahaman dan kesedaran mengenai pasaran modal.

“Sebagai contoh, syarikat boleh membantu pensyarah dalam merangka kursus berkaitan dengan pasaran modal untuk diajar kepada penuntut,” katanya.

Beliau berkata syarikat yang mengambil bahagian juga boleh membantu penuntut dalam menubuhkan kelab pelaburan untuk menggalakkan kesedaran mengenai peluang pelaburan dalam pasaran modal.

Usaha ini akan memperkayakan pengalaman pembelajaran kalangan penuntut dan mendedahkan mereka kepada cara kerja pasaran modal di samping meningkatkan kebolehpasaran dan mengurangkan kerentanan mereka terhadap penipuan kewangan, katanya.

“Saya berharap KPT dan universiti akan menerima idea baharu ini, kerana saya yakin ini adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan KPT untuk melihat kerjasama yang lebih besar antara pihak universiti dan industri.

“Cadangan skim ini akan menambah dimensi baharu kepada kerjasama ini,” katanya.

Sementara itu, Awang Adek berkata pilihan raya negeri tidak akan memberi kesan buruk kepada pasaran modal, memandangkan pilihan raya adalah peristiwa biasa dan sementara.

“Kerajaan pusat utuh kerana ini hanya pilihan raya negeri, bukan pilihan raya Parlimen.

“Dalam beberapa minggu lepas, kita telah melihat pasaran bertambah baik dan saya amat yakin sentimen ini akan berterusan pada masa hadapan,” katanya.

Facebook
Twitter
WhatsApp