TERKINI

Sentuh Isu 3R, Tindakan Tegas Akan Diambil – PM

grafik malayadaily.com

JOHOR BAHRU, 4 Sept 2023 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa jua yang menyentuh isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) di negara ini.

Beliau menegaskan, sebarang tindakan termasuk mengkritik, harus mempunyai had.

“Jangan melampau. Jangan ada sesiapa mencuit soal kaum dan agama, saya akan mengambil tindakan setegas-tegasnya.

“Kamu boleh kacau apa yang kamu nak, kamu boleh kata zalim, kamu boleh buat apa saja, boleh bicara apa saja, boleh kritik siapa saja, namun kritik Raja ada hadnya.

“Kamu guna sentimen hasut orang Melayu benci kaum Cina. Kamu hasut orang, guna agama menyatakan kita semua macam kafir.

“Saya tegaskan di sini, saya tidak akan bertolak ansur,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani, di Taman Uda Utama, malam tadi.

Seterusnya, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, beliau tidak kisah dan mampu bersabar walaupun sering dikecam serta dicerca pembangkang.

Namun jika ada sesiapa termasuk pembangkang menyentuh Raja-raja, beliau berkata, maka mereka perlu menanggung akibatnya sendiri.

“Saya nak beritahu jika kecam saya, saya boleh sabar. Kamu kecam Raja, itu nasib kamu.

“Saya sudah beritahu berulang kali beberapa bulan lalu, saya tidak bersetuju Akta Hasutan dikenakan terhadap sesiapa yang mengkritik Perdana Menteri. Jika fitnah, kita ambil tindakan undang-undang fitnah.

“Kamu kecam Perdana Menteri, kita tidak menggunakan Akta Hasutan. Namun jika kamu sentuh Raja, kamu sentuh Sultan Kedah, Sultan Selangor dan Sultan Johor… saya sudah beritahu, saya tidak mahu masuk campur.

“Biar polis menjalankan tugas, biar Jabatan Peguam Negara menjalankan tugas dan biar hakim menegakkan undang-undang,” katanya. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp