KUALA LUMPUR, 29 Ogos 2023 – Sekumpulan wartawan kanan membantah tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertindak menyekat akses kandungan laman portal sewenang-wenangnya, sejak kebelakangan ini.
Kumpulan wartawan tersebut berkata, SKMM juga bertindak memanggil wartawan bagi memberi penjelasan terhadap sesuatu laporan yang dianggap menyinggung kerajaan.
“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan.
“Kami sama sekali tidak dapat menerima sebarang percubaan untuk menggunakan agensi kerajaan seperti SKMM untuk menyoal, menapis atau menyekat portal dan kandungan berita dalam talian,” kata kumpulan wartawan tersebut.
Antara yang terlibat sama dalam mengeluarkan kenyataan itu adalah Tan Sri Johan Jaaffar; Datuk A Kadir Jasin; Datuk Hussamuddin Yaacob; Datuk Seri Azman Ujang; Datuk Dr Chamil Wariya; Datuk Yong Soo Heong; Datuk Zakaria Abdul Wahab; dan Dr G Manimaran.
Mereka adalah antara wartawan tersohor yang pernah berkhidmat dengan pelbagai agensi media di dalam negara selain pemilik syarikat penerbitan.
“Kerajaan pada hari ini dipilih atas janji untuk membolehkan pengaliran maklumat yang bebas dan untuk menjamin kebebasan media.
“Aduan daripada para pengamal media bahawa laman web mereka telah disekat semakin meningkat. Ia adalah trend tidak sihat yang mesti dihentikan serta-merta,” kata kenyataan, itu yang dikeluarkan hari ini.
Kumpulan itu kata mereka percaya SKMM tidak seharusnya terlibat menyekat laman web dan portal berita kerana mereka mempunyai keutamaan lain.
Media harus memainkan peranan bebas dengan jaminan kerajaan bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pengamal media bekerja tanpa rasa takut dan pilih kasih.
“Walaupun kami memahami Internet telah menjadi pencetus kebencian dan penyebat maklumat yang salah namun kami percaya pengamal media adalah individu yang berdisiplin dipandu oleh profesionalisme dan etika.
“Alam media sosial yang tidak terkawal boleh difahami sebagai masalah. Kami mengakui bahawa maklumat salah dan berita palsu (fake news) sudah sampai pada tahap krisis.
“Bagaimanapun kami juga percaya peranan yang harus dimainkan oleh media bebas di negara ini,” katanya. – malayadaily.com