TERKINI

SPRM sahkan panggil isteri dan dua anak Daim untuk rakam keterangan

Gambar hiasan – foto Harian Metro

PUTRAJAYA, 11 Jan 2024 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan memanggil Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, isteri bekas Menteri Kewangan bersama dua anaknya untuk merakamkan keterangan.

Ketiga mereka termasuk dua anaknya, Muhammad Amin Zainuddin Daim dan Muhammad Amir Zainuddin dipanggil memberi keterangan bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara yang berada bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Tun Daim Zainuddin.

Menurut kenyataan SPRM, pihaknya telah menyerahkan satu notis kepada Daim di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 pada 7 Jun 2023.

Manakala notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 juga telah diserahkan kepada ahli keluarga Daim.

“Sebagaimana dinyatakan pada kenyataan media SPRM pada 30 Disember 2023, siasatan terhadap Daim telah bermula pada Februari 2023 berdasarkan pendedahan serta maklumat daripada Kertas Pandora.

“Siasatan terhadap aset milik Daim ini juga masih terus berjalan,” kata kenyataan SPRM kepada media.

Semalam, Na’imah dilaporkan mendakwa, suaminya Daim dianiaya disebabkan kejayaannya sebagai ahli perniagaan sehingga digelar hartawan dan jutawan biarpun sebelum menyertai kerajaan.

Beliau mendakwa, disebabkan kejayaan itu, ia dijadikan alasan untuk memfitnah nama baiknya dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah.

“Kini, sebuah kempen memutar belit maklumat dan persepsi dijalankan bagi memberi gambaran bahawa suami saya seorang yang korup semata-mata kerana sangat kaya,” kata Na’imah dalam sidang media selepas selesai dirakamkan keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, SPRM turut memaklumkan telah merakam keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan publisiti dan promosi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp