PETALING JAYA, 22 April 2023 – Slot takbir raya pemimpin Perikatan Nasional (PN) dijadualkan malam ini untuk siaran di TV3 dibatalkan.
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata slot itu dibatalkan pada saat terakhir.
“TV3 batalkan walaupun kami dah bayar untuk siaran,” katanya di Twitter.
Sementara itu, PN dalam kenyataan di Facebook berkata pembatalan dimaklumkan oleh TV3 pada 10.11 malam, beberapa minit sebelum siaran pada 10.20 malam.
Gabungan itu memuatnaik tangkap layar emel yang menulis takbir raya PN itu tidak dapat disiarkan kerana masalah teknikal, dan pembayaran balik akan diatur.
Penghantar dan penerima emel itu tidak ditunjukkan. Tangkap layar itu juga menulis ia sedia bekerjasama dengan PN pada masa depan.
Acara itu memaparkan Pengerusi PN Muhyididn Yassin memimpin takbir raya pimpinan PN lain, serta ucapan raya daripada beliau.
Sebelum ini, terdapat tiga slot takbir raya sempena Aidilfitri mengikut jadual rancangan TV3, iaitu pada 9.20 malam, 10.25 malam, dan 11.25 malam. – FMT