TERKINI

Tun Dr Mahathir Cadang Tubuh Badan Dunia Baharu Ganti PBB

Tun Mahathir di University of Sarajevo School of Science and Technology – foto twitter Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR, 25 Jun 2023 – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan badan dunia baharu yang mampu bagi menguruskan permasalahan negara-negara dunia memandangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal memainkan peranan dengan berkesan.

Mahathir berkata, amalan kuasa veto lima negara dalam kalangan anggota PBB tidak membantu badan itu untuk menyelesaikan masalah yang melanda di banyak negara di dalam dunia hari ini.

“PBB seharusnya menguruskan masalah di dunia tetapi malangnya mereka tidak boleh berfungsi dengan sempurna kerana lima negara mempunyai kuasa veto.

“Kuasa veto bermakna satu kuasa veto boleh menafikan hak 190 negara anggota PBB, jadi ada keperluan mewujudkan badan antarabangsa, yang menguruskan masalah biasa dihadapi oleh negara-negara anggota,” katanya.

Cadangan itu diutarakan Mahathir ketika sesi pertemuan bersama penuntut di Universiti Sains dan Teknologi Sarajevo, Bosnia Herzegovina pada 21 Jun, lalu.

Katanya, negara-negara dunia kini terpisah antara kaya dan miskin sekaligus badan dunia seperti itu boleh memainkan peranan mereka.

Malah, penularan pandemik Covid-19 juga katanya membuktikan betapa negara miskin terpinggir khususnya berkaitan mendapatkan bekalan vaksin.

“Jadi, bila pandemik melanda dan vaksin dibangunkan, namun negara miskin ini tidak mampu mendapatkan akses vaksin untuk jangka masa lama mengakibatkan usaha mengawal penyebaran virus tidak berjaya,” kata Mahathir.

Beliau mencadangkan, badan dunia baharu itu mampu menangani isu sedemikian tanpa mengambil kira status sesebuah negara.

“Masalah dalaman negara boleh diuruskan sendiri negara berkenaan tetapi masalah antarabangsa, masalah biasa dihadapi dunia boleh diuruskan pihak berkuasa dunia.

“Mungkin PBB yang sudah ditambah baik atau kerajaan dunia yang baharu dan semua ini berlaku kerana kita terpisah antara negara kaya dan miskin, disebabkan mereka miskin negara itu gagal menguruskan persekitarannya berbanding negara kaya,” kata Mahathir.

PBB ditubuhkan pada 1945 dengan lima negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China dan Rusia memiliki kuasa veto.

Kuasa veto dilihat sebagai elemen PBB paling tidak demokratik, dan merupakan punca utama tiada tindakan diambil terhadap jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, seperti dilihat dalam konflik dan krisis yang berlarutan di dunia terutama di Palestin, Myanmar dan Ukraine.

Mahathir juga ketika pentadbirannya pernah menggesa agar kuasa veto PBB dimansuhkan.

Ia juga selaras dengan prinsip satu negara satu undi, malah, gesaan juga semakin meningkat supaya organisasi utama PBB itu disusun semula disebabkan kegagalan mereka berfungsi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp