TERKINI

UEC Perlu Masuk Sistem Kebangsaan Jika Mahu Pengiktirafan – Prof Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Kerajaan digesa berpegang kepada prinsip kepentingan nasional dalam menangani tuntutan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), tanpa tunduk kepada tekanan politik atau hujah beremosi yang boleh menjejaskan asas sistem pendidikan negara.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong, menegaskan bahawa isu UEC tidak boleh dilihat secara terpisah daripada kerangka sistem pendidikan kebangsaan dan pembinaan identiti nasional.

Menurut beliau, sekolah yang menawarkan UEC merupakan institusi pendidikan swasta yang berada di luar sistem pendidikan kebangsaan, termasuk tidak tertakluk sepenuhnya kepada syarat utama seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan pematuhan kepada kokurikulum nasional.

“Sekiranya mereka mahukan pengiktirafan, sepatutnya mereka menyertai sistem pendidikan negara. Tidak wajar berada di luar sistem tetapi pada masa sama menuntut manfaat yang disediakan kepada institusi dalam sistem,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar ke-484 bertajuk UEC: Apa solusi di sebalik kontroversi? di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf.

Teo turut menolak perbandingan dengan negara lain yang membenarkan pelbagai sijil pendidikan untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sambil menegaskan bahawa Malaysia sebagai negara berskala kecil perlu memperkukuh laluan sedia ada seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Menurutnya, meskipun hanya bergantung kepada dua laluan utama itu, masih ramai pelajar tempatan gagal mendapat tempat di IPTA, sekali gus membuka persoalan keadilan sekiranya sijil lain turut diterima.

“Jika kita buka syarat itu kepada sijil pendidikan lain, sudah tentu ia akan memberi kesan lebih buruk kepada anak bangsa kita,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan kerajaan menilai secara serius kedudukan sekolah Cina, termasuk tahap penggunaan bahasa Melayu serta unsur integrasi nasional dalam proses pembelajaran.

“Bahasa Melayu tidak seharusnya dipelajari sekadar untuk tujuan instrumental, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran integratif bagi membina identiti kebangsaan,” katanya.

Isu pengiktirafan UEC terus menjadi perdebatan nasional, dengan pelbagai pihak mengingatkan bahawa sebarang keputusan kerajaan perlu berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, Dasar Pendidikan Kebangsaan serta kepentingan jangka panjang perpaduan negara. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp