TERKINI

Apa Yang Istimewa Dengan Orang Melayu ?

Uitm – foto NST

Orang-orang Melayu khususnya anak-anak muda yang menyokong kesamarataan hak dan meritokrasi yang di canang oleh Pakatan Harapan perlu memahami hak istimewa yang mereka sanggup dan bersetuju untuk di korbankan.

Apa jua alasan yang di kemukakan untuk mendapatkan kesamarataan hak, telah diperjuangkan oleh bangsa bukan melayu sejak hak istimewa orang Melayu ini mula diperkenalkan pada tahun 1957 lagi; selepas Perlembagaan Persekutuan digubal berdasarkan laporan Suruhanjaya Reid.

Hak istimewa orang Melayu adalah hak yang telah dipersetujui oleh para pemimpin terdahulu yang telah diiktiraf buat orang melayu sebagai jaminan, cagaran atau gantian kepada kesediaan orang Melayu di Tanah Melayu untuk menerima etnik India dan Cina untuk sama-sama menetap dan sama-sama berkongsi kehidupan di tanah melayu sebagai warganegara.

Hak ini dirangka bagi melindungi orang Melayu kerana pada waktu itu orang Melayu tidak mahu menerima kehadiran kaum India dan Cina sebagai rakyat di Tanah Melayu.

Pada tahun 1970, 13 tahun selepas penggubalan Perlembagaan  Persekutuan, orang Melayu hanya menguasai 4% kek ekonomi.

Sebahagian besar kek ekonomi dipegang dan dinikmati oleh kepentingan orang bukan Melayu. Artikel 153 disusun semula untuk mengatasi ketidakseimbangan ekonomi ini tetapi ianya terus ditentang oleh orang bukan Melayu sehingga berlakunya peristiwa 13 Mei 1969.

Bila kita menyokong kesamarataan hak, kita sebenarnya menyokong untuk membuang hak-hak kita sebagai orang Melayu. Apakah sebenarnya perbezaan hak yang diperuntukkan oleh artikel 153?

Tiga perkara utama yang di nikmati oleh orang-orang Melayu ialah:

1. Kuota kemasukan serta jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam;

2. Biasiswa, danasiswa; dan

3. keistimewaan pendidikan, latihan dan/atau kemudahan khas lain.

Pada bulan Februari 2023, Pemimpin DAP selaku Timbalan Ketua Menteri II Pulai Pinang P Ramasamy menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan untuk memecahkan dominasi orang melayu dalam perkhidmatan awam.

Gesaan Ramasamy telah mempertikaikan hak istimewa dan bertentangan dengan peruntukan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia. Bukankah ini sebenarnya definisi rasisme? Mendiskriminasikan dan menidakkan peruntukan orang Melayu yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan?

Sehingga kini, tiada tindakan diambil terhadap pemimpin rasis tersebut dan malangnya masih ramai orang-orang Melayu yang menyokong pentadbiran kerajaan DAP yang bertopengkan Kerajaan Perpaduan ini.

Dengan bantuan biasiswa, danasiswa dan pendidikan sedia ada, peratusan graduan kaum bukan melayu jauh lebih tinggi berbanding dengan peratusan graduan orang Melayu dan jika ini juga di samaratakan atau kemasukan ke institusi pengajian berdasarkan meritokrasi, peluang pendidikan untuk orang melayu akan lebih mengecil.

Pada suatu ketika, pegangan ekuiti 30% untuk penyenaraian syarikat di Bursa Saham adalah satu syarat yang wajib dipatuhi sehinggalah kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dato Seri Najib Tun Razak membubarkan syarat pegangan ekuiti Bumiputera tersebut mengakibatkan pegangan ekuiti Bumiputera di Malaysia jatuh merosot.

Dengan hak istimewa orang Melayu, sasaran keluasan Tanah Rizab Melayu juga masih jauh dari yang di tetapkan oleh Wasiat Raja-Raja Melayu dengan hanya 20.5% dari sasaran 50%. Peratusan ini akan menjadi lebih kecil jika di tolak hutan simpanan, gunung, tasik dan sungai seperti di maktub dalam wasiat tersebut. Tanpa hak istimewa orang Melayu, Tanah Rizab Melayu tidak akan wujud. Majoriti besar orang Melayu tidak mungkin mampu untuk memiliki tanah dan rumah.

Orang Melayu masih boleh berkembang dengan adanya institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi MARA dan berbagai-bagai insentif yang khusus kepada orang Melayu seperti Amanah Saham Bumiputera, diskaun pembelian rumah, pinjaman khas atau dana khas untuk bumiputera, pembelian Tanah Rizab Melayu dan lain-lain.

Semua dasar-dasar untuk bumiputera di perkenalkan untuk menyamaratakan bangsa Melayu yang jauh ketinggalan berbanding dengan bangsa-bangsa lain dan bukan untuk menjadikan orang Melayu Tuan dan untuk menidakkan atau mengenepikan bangsa lain.   

Adakah kita bersedia untuk buang salah satu atau kesemua hak-hak istimewa orang Melayu ini untuk memberi keadilan kesamarataan kepada bangsa lain yang tidak pernah prihatin ke atas kemiskinan dan kedudukan orang Melayu yang jauh ketinggalan di Tanah Melayu?

Parti DAP dan kaum bukan bumiputera bukan mempertahankan hak mereka. Mereka berjuang untuk mendapat hak lebih dari peruntukan Perlembagaan sedia ada. Mereka berjuang untuk mendapatkan hak-hak orang Melayu dan sebilangan besar orang Melayu dengan relanya berjuang untuk memberi hak kita kepada mereka. Yang akan rugi adalah kita, yang mendapat untung adalah mereka.

Sedarlah bangsa ku.

Armin Baniaz Pahamin, Kolumnis MalayaDaily.com setiap hari Khamis.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp