TERKINI

Filem “Warrior” – Persamaan di San Francisco dan Tanah Melayu

Azman Mohd Hashim (gambar kecil), penulis – malayadaily.com

Menonton sebuah drama bersiri di Netflix bertajuk “Warrior”, yang mengisahkan pekerja-pekerja imigran dari China yang dibawa masuk ke San Francisco, Amerika Syarikat pada sekitar tahun 1870-an.

Mereka datang untuk bekerja sebagai pembina rel kereta api dan juga di kilang-kilang besi yang menghasilkan trek laluan kereta api. Di antara sebab mengapa mereka sanggup merantau ke seberang laut adalah kerana mereka melarikan diri daripada kemiskinan, kebuluran, dan peperangan di tanah air untuk mencari kekayaan emas dan permata di Amerika, yang dikenali dengan ungkapan “Land of Opportunity” atau Tanah Peluang.

Drama ini berpusat kepada dua kumpulan kongsi gelap berpengaruh, iaitu Hop Wei dan Long Zii, yang sentiasa bertelagah demi menguasai “Chinatown” di San Francisco. Pertelingkahan yang bermula sebagai pergaduhan kecil akhirnya merebak menjadi peperangan besar antara kedua-dua kongsi gelap ini.

Salah satu dialog yang menarik perhatian saya adalah ketika salah satu watak menyebut, “Kita akan menjadikan tempat ini tempat kita, cuma mereka belum mengetahuinya lagi. Kita hanya perlu bekerja dan berusaha lebih keras daripada mereka.”

Sentimen ini tampak diturunkan dari satu generasi ke generasi yang seterusnya, sehingga membawa kepada hari ini. Sentimen ini juga mungkin telah dibawa ke Tanah Melayu oleh imigran-imigran Cina yang melarikan diri dari kemiskinan, kebuluran, dan peperangan di negara asal mereka.

Mari kita menelusuri kembali sejarah di Tanah Melayu, kita lihat kisah Long Jaafar dan anaknya Ngah Ibrahim yang kaya-raya dengan perusahaan lombong bijih timah. Mereka membawa masuk buruh-buruh dari China dengan bantuan British, sehingga tercetusnya persaingan antara dua kumpulan kongsi gelap, iaitu Ghee Hin dan Hai San di Larut, Perak.

Pertelingkahan antara kedua-dua kumpulan ini merebak sehingga menjadi peperangan besar. Akhirnya, campur tangan British membawa kepada British menguasai lombong bijih dan pengusiran Ngah Ibrahim, sementara kongsi gelap Ghee Hin dibenarkan menguasai Kamunting, dan Hai San menguasai Taiping. Orang Melayu? Apa yang tinggal untuk mereka?

Hari ini, penting untuk kita mengingatkan generasi muda kita bahawa Orang Melayu perlu bekerja lebih keras dan berusaha lebih gigih berbanding orang lain. Tanah Melayu ini adalah milik kita, dan kita perlu mempertahankannya. Peringatan ini harus di perturunkan ke anak cucu kita sampai bila-bila.

Walau di mana pun orang Cina berada, sama ada di Amerika, Australia, Filipina, atau mana-mana negara sekalipun, mereka akan memperkuatkan ekonomi mereka, meskipun ia mengambil beberapa generasi. Seterusnya, mereka akan berusaha untuk menguasai politik negara tersebut, sesuatu yang sudah mulai kita lihat di sekeliling kita.

Syukur Alhamdulillah, Orang Melayu masih menguasai politik di Tanah Melayu, tetapi bukan ekonomi.

Untuk memastikan Tanah Melayu kekal milik Melayu, kekuatan ekonomi juga harus berada di tangan kita. Oleh itu, bekerjalah dan berusahalah dengan lebih gigih daripada yang lain.

Azman Mohd Hashim SM

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp