TERKINI

Lim Kit Siang Bukan Demokrat

Gambar hiasan – foto parlimen malaysia

“Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ‘mengisytiharkan’ mereka tidak akan menjadi sebahagian daripada sebarang rancangan untuk menjatuhkan kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang.”

Demikian laporan berita mengenai kenyataan Kit Siang selepas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman memuat naik angka ‘126’.

Hal ini dihangatkan lagi apabila muncul poster dan tangkap layar berkaitan calon Perdana Menteri dan gerakan untuk menukar kerajaan PH.

Bagi saya, perkara ini hanya ‘lelucon’ politik, namun bagi Lim Kit Siang ia seperti suatu perkara yang amat serius hingga dia membuat kenyataan yang gopoh.

Adalah tidak masuk akal permintaan Kit Siang agar pemimpin pembangkang mengisytihar untuk menolak usaha menukar kerajaan.

Menukar kerajaan adalah amalan demokrasi, ia bukan suatu jenayah apatah lagi suatu tindakan tidak bermoral. Jika Kit Siang seorang demokrat yang tulen, dia pasti faham ranah politik ini.

Mereka yang pernah berniat menukar kerajaan sebelum ini, akan merasa bimbang kerajaannya tumbang. Orang ini akan menjadi ‘paranoid’ dengan perkembangan sekeliling.

Mereka yang sudah biasa membuat demonstrasi jalanan, akan mencari pelbagai alasan untuk tidak membenarkan lawannya berbuat yang sama untuk memprotesnya.

Buktinya, Anwar begitu menggelabah apabila acara Proklamasi Orang Melayu hendak dilancarkan hingga meracau dalam ucapan ceramahnya.

Jika Kit Siang lupa, mari saya ingatkan. Pada Rabu 23 September 2020, dalam sidang media Anwar Ibrahim mengumumkan beliau sudah mempunyai sokongan majoriti untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengapa ketika itu, Lim Kit Siang berdiam diri dan tidak mempersoalkan tindakan Anwar itu? Mengapa Kit Siang tidak mengecam tindakan Anwar itu? Bukankan tindakan itu untuk menggugat kestabilan kerajaan ketika menghadapi pandemik?

Tetapi mengapa kali ini, apabila ada ura-ura pihak mahu menukar kerajaan Anwar, Kit Siang melenting?

Sikap Kit Siang makin terserlah apabila beliau berdiam diri apabila UMNO memutuskan untuk memohon perkenan YDP Agong agar mengampunkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang didapati bersalah oleh 13 Hakim.

Kit Siang yang lantang ini, rupanya menikus dan berdiam diri dalam isu ini. Adakah beliau bersetuju dengan usaha UMNO itu?

Atau Kit Siang takut dimarahi UMNO dan Zahid Hamidi sepertimana Khalid Samad dan Amanah diherdik UMNO hingga memohon ampun dan maaf?

Kit Siang juga senyap sunyi apabila wakil kerajaan iaitu Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying gagal menjawab soalan di Parlimen pada 27 Mac lalu?

Sebelum ini, Kit Siang cukup tegas dan suka menegur jika ada wakil kerajaan UMNO/BN tidak hadir sidang dewan atau gagal menjawab soalan dewan. Pasti sidang media akan diadakan mengecam situasi itu.

Sebagai ahli politik yang berpengalaman, Kit Siang harus konsisten dan berjiwa besar menghadapi dinamika politik. Jangan ada sikap ‘double standard’ – kami boleh, kamu tidak. Sikap Kit Siang ini menunjukkan beliau bukan seorang demokrat tulen.

Mahdzir bin Ibrahim – Timbalan Ketua Penerangan GTA

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp