TERKINI

Testament Politik ARMADA – Bah 1

Hilman Idham – malayadaily.com

GERAKAN KEPEMUDAAN

“Dunia memang tidak dapat melupakan tenaga pemuda. Dari semenjak dunia ada dan dalam masa dunia menempuh perubahan-perubahan yang memang dituntut oleh alam mengikut prosesnya, tenaga pemuda selalu terbukti. Dalam segala lapangan, ada tenaga pemuda dan memang mengkehendaki tenaga pemuda itu.”(Testament Politik API)

Setiap pemuda yang lahir ke dunia memiliki dua sifat dan ciri universal; semangat dan berani. Semangat dalam setiap perlakuannya, dan berani melakukan apa sahaja, sama ada yang betul mahupun salah. Lantas setiap perjuangan, perlawanan, pertembungan atau yang sewaktu dengannya sering dikaitkan dengan orang muda.

Sejarah juga mengajar kita bahawa semangat dan kesedaran orang muda yang meluap-luap akan segera tersebar dan mempengaruhi pemuda yang lain. Semangat yang kental dan keberanian yang jitu sesama pemuda akan membentuk satu pasukan atau ketumbukan yang kuat dan bertenaga.

Namun, dua ciri khas ini bakal luntur apabila sampai waktunya. Ketika itu, orang muda akan insaf dan cemas, saat mereka sedar bahawa usia dan jiwa muda itu hanyalah sementara.

Demikianlah bagaimana sebuah gerakan kepemudaan mula mengorak langkah. Semangat melawan tanpa rasa takut dan gentar menjadi pemangkin perubahan dalam segala bentuk lingkungan. Semakin besar ketumbukan pemuda, semakin besar gelombang perubahan yang bakal melanda.

Justeru itu, tidak hairanlah Presiden Soekarno pernah bersumpah; “Berikan aku 10 orang pemuda, nescaya akan kuguncang dunia”.

Menekuni perjuangan para leluhur kita, tanah air ini menjadi saksi bagaimana bermulanya gerakan kepemudaan yang berjuang untuk membebaskan nusa dan bangsa daripada belenggu penjajahan British. Pada Februari 1946, Angkatan Pemuda Insaf (API) ditubuhkan oleh 3 orang pemuda atas rasa penuh tanggungjawab terhadap bangsa dan tanah air.

Penubuhan Angkatan Pemuda Insaf yang disusuli dengan penerbitan Testament Politik API oleh Ahmad Boestamam yang ketika itu hanya berusia 26 tahun, telah membangkitkan kesedaran dalam kalangan pemuda tentang peri pentingnya membebaskan tanah air daripada terus diperhambakan oleh penjajah British.

Menerusi tema besar, ‘Merdeka Dengan Darah’, antara bait-bait keramat yang terangkum dalam testament tersebut mengungkapkan bahawa, “API mahu berjuang untuk mencapai kemerdekaan bangsa dan tanah air dengan segala jalan yang terbuka, dengan lembut jika boleh, dengan keras jika terpaksa.”

Ayat ini telah menimbulkan rasa gerun puak penjajah. Mereka bimbang kepentingan mereka tidak lagi terjamin sekiranya rakyat ‘dihasut’ untuk menuntut pembebasan dan kemerdekaan. Undang-undang yang digunapakai bagi menghalang ‘hasutan’ sedemikian, kini masih digunakan oleh kerajaan zalim Madani yang pernah memperjuangkan pemansuhannya.

Setahun selepas penerbitan testament tersebut, Angkatan Pemuda Insaf diharamkan British. Walhal, tidak ada mana-mana parti politik sebelum itu yang diharamkan British, termasuklah parti komunis. Demikianlah hebatnya dampak sebuah gerakan kepemudaan yang mempunyai kesedaran dan keberanian yang tinggi untuk bangkit melawan.

Ahmad Boestamam bukan anak muda pertama yang bangkit melawan cengkaman penguasa zalim. Kita boleh membelek sejarah dan menelusuri sirah perjuangan pemuda hingga ke zaman kesultanan Melayu Melaka. Bahkan kita boleh telusuri hingga ke zaman Ashabul Kahfi untuk mendapat pedoman tentang bagaimana keyakinan untuk menyatakan kebenaran, melawan kebatilan, mengalir deras dalam setiap pembuluh darah anak muda seperti kita semua.

Anak muda pantang berdiam dan tidak melawan. Kita bahkan menawarkan diri untuk berada di saf paling hadapan bagi menyatakan kebenaran di muka penguasa yang zalim dan lupa diri. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Kahfi, ayat 13 :

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”

Dalam sejarah gerakan kepemudaan di Malaysia, tidak sedikit watak￾watak sakti yang mencorak pola perjuangan rakyat marhaen. Setiap satunya terjun ke lapangan politik di saat mereka tidak punya pilihan lain selain mengorbankan keringat dan tulang empat kerat untuk berjuang demi rakyat. Di sini lah kita menemukan asbab mengapa sayap anak muda dalam setiap parti politik amat signifikan bagi menyemarak idealisme dan nilai yang diperjuangkan.

Perjuangan anak muda tuntas berpaksikan idealisme dan prinsip-prinsip yang luhur. Ianya sama sekali tidak boleh digadai demi kuasa, pangkat dan wang ringgit. Kata Tan Malaka, “Idealisme adalah kemewahan terakhir yang hanya dimiliki oleh pemuda.” Natijahnya, kumpulan anak muda sering dikaitkan dengan gerakan ‘anti-establishment’.

Gerakan yang lahir dari denyutan nadi rakyat berfungsi sebagai mekanisme semak-imbang bagi membela keadilan sosial, menyemarak kesejahteraan dan menjamin kehidupan rakyat yang lebih baik pada masa hadapan.

Justeru, sayap anak muda tidak boleh alpa dan lari daripada tuntutan memperkasa organisasi, berfungsi secara dinamik dan independen sifatnya agar mempunyai keupayaan dan kekuatan bagi menjamin kelestarian wadah politik. Gerakan kepemudaan adalah gerakan yang membumi dan tidak boleh tercabut daripada suara nurani rakyat. Kalau bergegar bumi kerana derap langkah pemuda, maka bergoncanglah sang penguasa kerana sesungguhnya, laungan pemuda adalah suara rakyat.

-Bersambung

Hilman Idham, Petaling Jaya – 4 Oktober 2024
Hilman merupakan calon Ketua Armada Bersatu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, Gombak Setia

Facebook
Twitter
WhatsApp