TERKINI

Testament Politik ARMADA – Bah 3

Hilman Idham – malayadaily.com

ARMADA SIAP SIAGA

Presiden Soekarno tatkala memimpin gerakan rakyat suatu masa dahulu pernah berkata, “Pemuda itu adalah bunganya tiap-tiap bangsa.”

Begitulah Armada, sayap anak muda dalam BERSATU yang harus menerajui ketumbukan anak muda Malaysia. Kita adalah bunga yang kembang mekar dan tersemat kemas menghiasi panji perjuangan BERSATU. Tanpa ketumbukan Armada yang kuat, gagah dan cekal berjuang, panji-panji perjuangan ini akan luntur dan hilang kemegahannya ditelan arus zaman.

Sebagai pewaris perjuangan BERSATU, kita tidak perlu gusar dan ragu tentang potensi serta daya kepimpinan hari ini. Musuh akan terus menekan dan melakukan intimidasi terhadap pemimpin kita. Akan tetapi, Armada berikrar untuk kekal teguh di saf hadapan demi membela dan mempertahankan Presiden dan kepimpinan BERSATU. Pujangga Arab menyebut: “Tidak akan mendapat kemajuan sesuatu bangsa itu, jika pemuda-pemudanya tidak berdiri di barisan hadapan.”

Wadah BERSATU ini ditubuhkan oleh para negarawan ulung. Kita diterajui oleh kepimpinan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berpengalaman luas dalam segenap aspek pentadbiran dan politik negara. Beliau tegas dan tuntas mempertahankan prinsip perjuangan, meski diasak dari segenap penjuru. Tidak sedikitpun beliau goyah walau diugut dan ditekan dengan undang-undang purba yang zalim.

Kekuatan BERSATU dipacu oleh Timbalan Presiden, dan bakal Timbalan Presiden yang mempunyai rekam jejak yang unggul sebagai arkitek dalam lanskap politik negara. Keperkasaan BERSATU ditata-atur dengan strategi ampuh oleh Setiausaha Agung, dan bakal Setiausaha Agung yang cekal tabah, setia dan sudah teruji dengan pelbagai mehnah serta dugaan dalam perjuangan.

BERSATU sudah mempunyai Jeneral dan Panglima yang sarat dengan pengalaman, kaya dengan strategi dan pantas menyergap gerak musuh. Namun, apa ertinya Jeneral dan Panglima tanpa laskar dan ksatria yang berani untuk berjuang di medan perang? “Older men declare war. But it is youth that must fight and die.” (Herbert Hoover)

Medan tempur BERSATU adalah pilihan raya. BERSATU harus melangkah ke medan perang dengan segenap kekuatan dan penuh bertenaga. Presiden sudah bersedia. Timbalan Presiden sudah bersedia. Kabinet perang BERSATU akan tersedia. Dan Armada, adalah laskar dan ksatria mereka.

-Bersambung

Hilman Idham, Petaling Jaya – 4 Oktober 2024
Hilman merupakan calon Ketua Armada Bersatu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, Gombak Setia

Facebook
Twitter
WhatsApp