TERKINI

Ular Air Berlagak Ular Tedung

foto kredit berita harian

Bila dapat kuasa, ihsan Agong, ular air sudah berlagak ular tedung. 

Dalam persidangan Pakatan Harapan baru-baru ini dia cuba menghidupkan mimpi reformasinya di masa silam yang kini menjadi reforbasi. Mendengar ucapannya teringat membaca surat khabar lama yang lusuh berita. Ya, dengar boleh, percaya jangan.

Tanya dia mengapa dihalang Tun Mahathir mengadakan perjumpaan dengan para pejuang Melayu Islam? Mengapa takut Tun Mahathir yang berusia  97 tahun, tiada kuasa, hanya mahu berbincang nasib bangsa Melayu, Islam dan negara?

Kamu menjaja sebagai seorang pencinta demokrasi, hak asasi manusia, anti korupsi, berakhlak mulia, dan menjulang keadilan. Mengapa kamu menafikan hak rakyat hendak  mengadakan perjumpaan membincangkan nasib bangsa mereka, Islam dan negara? Kamu takut? Kamu takut Melayu Islam bersatu?

Mana letak amalan  demokrasi kamu? Kalau kamu berjiwa besar, bukan munafiq, bukan gila kuasa, berpegang pada tali Allah, akhlak mulia wajar kamu beri peluang kepada Tun Mahathir menemui  para pejuang yang ingin bertukar pendapat antara mereka.

Kalau kamu berbudi mulia, berakhlak, berpegang pada tali Allah, tentu kamu hormati dia sebagai PM yang memberi peluang kepada kamu menjadi menteri.

Dari nada dan putar belit ucapan kamu pada perhimpunan PH ternyata kamu gerun menghadapi cabaran Tun Mahathir. Kamu ibarat ikan seluang mudik di pinggir kali. Jasa kamu  pada rakyat,negara dan  kemanusiaan dibandingkan denganTun Mahathir yang menjadi PM 24 tahun ibarat daun kering gugur dalam lumpur.

Ingat ular bisa menyusur akar tidak hilang bisanya. Kamu boleh menyindir Tun Mahathir tetapi kamu tidak boleh menghapuskan jasa besarnya sebagai Perdana Menteri yang  paling lama, dan dikultus oleh masyarakat dunia sebagai negarawan.

Dia tidak mengemis pada  para pemimpin dunia memujinya. Dalam usia  97 tahun  dia  masih diberi penghargaan dan layanan sebagai pemimpin bertaraf dunia oleh kerajaan Jepun  yang menjemputnya  mengambil bahagian dalam forum di Tokyo baru-baru ini.

Kamu patut bersyukur Mahathir  menerima kamu menyertai UMNO dan terus menjadi ahli kabinetnya. Dengan ijazah BA  Pengajian Melayu kamu hanya layak jadi guru sekolah swasta Yayasan Anda. Tangkal azimat kamu ialah retorik dengan lakonan kamu atas pentas, dengan rempah ratus temberang dirinjis dengan potongan ayat qur’an untuk meyakinkan para pendengar. Itu saja kelebihan kamu.

Apakah kamu bimbang Melayu Islam bersatu? Sebagai bekas Presiden ABIM apakah perjuangan kamu untuk perpaduan Islam atau perpecahan Melayu? Kamu sedar sekarang Melayu Islam menolak kamu pada PRU 15. Jangan terkejut pada Pilihanraya 6 Negeri, PH dan UMNO bakal dibaham bumi.

Kepada orang Melayu Islam kamu dan UMNO berputus arang. Kamu dan UMNO tidak mewakili aspirasi perjuangan  Melayu Islam. Kamu dan UMNO dianggap menjadi kaldai tunggangan DAP. MADANI dan ‘Malaysian Malaysia’ selagu seirama alunan songsang bagi perjuangan Melayu.

Kamu boleh merancang apa saja. Tapi Allah maha kuasa menentukan segala. Kuasa kamu hanya sementara, ihsan Agong, bukan pilihan orang Melayu Islam. Melayu Islam sudah bangkit. Tidak akan mundur ke belakang. Seperti ribut dan gelombang yang amarah semangat Melayu Islam akan menggegar setiap liang roma Melayu yang berjihad di jalan Allah. Kamu punya reforbasi. Melayu punya Islam akar tunjangnya Al-Qur’an dan hadis Nabi.

Hashim Yahya juga dikenali sebagai Pak Ya

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp