TERKINI

A Samad Ismail sebagai Wartawan, Cendekiawan Awam dan Negarawan

BAHAGIAN 2

Samad Bercerita Dirinya melalui Ishak Haji Muhammad (Pak Sako)

Berkaitan dengan itu, saya ingin menarik perhatian kepada pelbagai persoalan yang ditimbulkan oleh Samad dalam ‘Kata Pendahuluan’nya sepanjang 15 halaman (11-26) untuk Memoir Pak Sako (1997).

Walaupun Samad menulis lalu memperkenalkan Pak Sako kepada Masyarakat pembaca, Samad sebenarnya menceritakan peribadinya sendiri. Psyche Samad terserlah dalam naratif terebut.

Subteks nya ialah mengenai dirinya sendiri. Disebalik Pendahuluannya itu ada satu naratif dialogik yang memaklumkan kita mengenai weltahschauung Samad, pengaruh dan gurunya disebalik persoalan-persoalan yang dibangkitkan.

Samad memulakan dengan memberitahu pada masa Pak Sako memimpin Utusan Melayu bersama Abdul Rahim Kajai, “saya hanya seorang pemberita memuja Sako sebagai wartawan dan sasterawan yang ulung di tanah air.” Model Samad ialah Pak Sako dan Kajai.

Samad melihat Sako sebagai wira generasi muda sebekum perang. Ketika itu, Samad telah pun juga menganggap Pak Sako seorang nasionalis.

Samad memberitahu bahawa beliau mengenali Sako secara dekat melalui tulisan-tulisanya dalam Utusan Melayu dan Utusan Zaman meminati terutama sekali pojoknya “Hantu Raya” dan cerpen-cerpennya dalam Utusan Zaman.

Keluarga Samad merupakan penyokong kuat Kesatuan Melayu dan ikut terbabit dalam kempen menjual saham-saham Utusan Melayu sebelum penubuhannya sebagai sebuah Syarikat.

Pada Samad, penubuhan Syarikat Utusan Melayu pada tahun 1939 adalah satu detik penting dalam sejarah orang-orang Melayu Singapura. Ia merupakan satu pencapaian besar orang-orang Melayu.

Samad berkata bahawa Ishak Haji Muhammad memainkan peranan penting dalam penubuhan Syarikat Utusan Melayu.

Samad memberitahu ktia bahawa faktor yang penting yang mendoring beliau menyertai bidang kewatawanan ialah gelombang nasionalisme Melayu pada zaman itu.

Tegasnya aspirasi bangsa Melayu untuk menampilkan satu generasi wartawan-wartawan Melayu yang bebas daripada kongkongan golongan elit Erat da India Muslim. Sako dan Kajai adalah wira yang berjuang di barisan hadapan untuk memperjuangkan aspirasi ini.

Samad memperakui pengobrnana Ishak dan Kajai apabila mereka meninggalkan akhbar Warta Malaya, syarikat akhbar harian Melayu yang terbesar di Singapura dan Semenanjung untuk memimpin Utusan Melayu dengan gaji yang lebih rendah dan masa depan yang amat tidak menentu.

Samad menyentuh bahawa Ishak dalam memoirnya tidak menceritakan babak perjuangan orang-orang Melayu pada masa itu unntuk menubuhkan Syarikat Utusan Melayu, peranan beliau dan Ibrahim haji Yaakob dan teman-teman yang lain dalam usaha menubuhkan Syarikat Utusan Meayu dan khusunya peranan utusan Melayu yang merangsang kongres atau perhimpunan besar pertubuhan-pertubuhan Melayu seluruh tanah air sebanyak tiga kali.

Pada masa itu Samad masih bersekolah. Tetapi dirumahnya pemimpina kesatuan Melayu sering mengadakan rundingan dengan bapanya mengenai rancangan untuk menubuhkan Syarikat Utusan. Sebanyak sedikit beliau mengikuti rundingan-rundingan awal untuk menubuhkan Syarikat Utusan Melayu.

Samad, dalam Pendahuluanya, begitu kritis terhadap Sako.

Memoir Ishak Haji Muhammad ini sebenarnya tidak banyak menceritakan hal-hal yang penting dalam kerjaya pada masa lalu. Ishakn menetap di Singapura bertahun-tahun lamanya sejak berpindah dari Semenanjung ke Singapura bekerja di Warta Malaya.

Ishak melalui satu zaman yang penuh liku dan mendebarkan srta penuh erti di Singapura sebelum perang dahulu. Tidak banyak ang Ishak ceritakan tentang perjuangannya dalam Kesatuan Melayu Singapura sedangkan ingatan saya masih segar betaoa ishak menjadi seorang pemimpin muda Kesatuan Melayu yang aktif pada masa itu (Memoir, h. 14).

Seterusnya, Samad bertanya:

Mengapa Sako keluar dari Utusan Melayu setelah naya beberapa bulan memimpin akbar itu sebelum Abdul Rahim Kajai? Mengapakah dia tiba-tiba dan senyap-senyap meninggalkan Utusan Melayu? Apakah perjuangannya dalam Kesatuan Melayu Muda setelah menghilang dari Utusan Melayu. (Memoir, h. 14).

Menurut Samad, Ishak menjadi pengarang Warta Malaya berikutan pembelian suratkbabar itu oleh Ibrahim Yaakob dari Syed Hussein al-Sagoff, pemilik Syarikat akhbar tesebut. Peristiwa Ibrahim Yaakob membeli Warta Malaya daripada Syed Hussein al-Sagoff mengemparkan dunia kewartawanan Melayu pada masa itu. Samad bertanya

…dari manakah Ibrahum Yaakob mendapat wang untuk membeki Syaiikat Warta Malaya? Pada masa itu khabar-khabar angin mengatakan Ibrahim membeli Warta Malaya dengan wang Jepun sebanyak 30 ribu ringgit. Kami tertanya-tanya bagaimanakah Ibrahim dapat memujuk Jepun untuk memberikan modal kepadanya membeli Warta Malaya (Memoir, h.14).

Samad, dalam Pendahuluan Memoir Pak Sako juga bertindak sebagai sejarawan, jika boleh saya gelar beliau sebagai sejarawan awam seperti Haji Muhammad Said, pengasas suratkhabar Waspada di Medan, atau Rosihan Anwar berdasarkan kepada buku beliau empat jilid beliau A Petite History of Indonesia (2004).

Samad meramalkan bahaya peperangan dengan Jepun – Ia “mulai dirasakan oleh kami.” Menurut Samad, Jepun pada masa itu mempunyai sebuah suratkhabar harian Inggeris di Singapura yang bernama Singapore Herald. Kebetulan suratkhabar kepunyaan Jepun itu terbit “agak serentak dengan waktu Ibrahim membeli Warta Malaya.”

Ini berlatarbelakangkan penubuhan Kesatuan Melayu Muda di Kuala Lumpur, dan polemik panjang Utusan Melayu dengan suratkhabar Majlis yang ketika itu dipimpin oleh M. Sallehuddin. Majlis menyokong penubuhan Kesatuan Melayu Muda, “sedangkan Kajai tidak senang dengan penubuhan KMM.”

Samad seterusnya mempersoalkan Memoir Pak Sako. Katanya, Sako tidak menceritakan hal-hal tersebut kepadanya yang dianggap “amat penting dalam sejarah persuratkhabar Meayu sebelum perang.” Pada masa itu “Sako sudahpun berada dipuncak popularitinya” sebagai seorang wartawan dan seorang sasterawan.

Menurut Samad, novel Sako, Anak Mat Lela Gila merupakan satu perkembangan baru dalam sastera Melayu pada masa itu. Karya Sako itu merupakan satu pembaharuan dalam penulisan novel.

– Bersambung

Oleh : Ahmad Murad Merican, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, (ISTAC-IIUM), Kuala Lumpur [Ucaptama pada Simposium Memperingati Tan Sri A Samad Ismail: Wartawan, Cendekiawan Awam, Negarawan, anjuran Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC-IIUM), bersama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, 15 January 2024.]

Facebook
Twitter
WhatsApp