TERKINI

Al-Imam (Siri 6)

Abdullah bin Haji Jaafar
Perjuangannya /5

Gambar hiasan – Foto Dunia Majalah Melayu

Seruan ini telah mendapat sambutan yang hangat dari beberapa orang wakil atau penulis tempatan. Seorang penulis dari Muar, Johor, telah menggesa dan mencadangkan supaya “sekalian orang tua-tua kampung atau penghulu-penghulu”25 di negeri-negeri Melayu memohon dan merayu kepada pihak Kerajaan dengan tuntutan supaya memperbaiki Pelajaran anak-anak Melayu.

Cadangan-cadangan dan tuntuan ini adalah untuk kedua-dua Kerajaan British di Tanah Melayu dan Kerajaan Belanda di Indonesia. Cadangan-cadangan dan tuntutan itu ialah;

PERTAMA – Meminta kerajaan membina sebuah atau lebih sekolah pada tiap-tiap negeri kerana kegunaan anak-anak negeri saja dan di sekolah-sekolah itu hendaklah diadakan tiga jenis pelajaran iaitu:

a. Pelajaran Melayu atau Jawa atau lainnya mengikut bangsa dan bahasa negerinya
b. Pelajaran Inggreris jika negeri-negeri itu di bawah British, dan pelajaran Belanda jika negeri-negeri itu di bawah pemerintahan Belanda.
c. Pelajaran Arab.

KEDUA – Kerajaan mestilah membiayai sekolah-sekolah itu sepenuhnya iaitu gaji guru-gurunya, belanja buku-buku, dan kawat dan apa juga barang-barang atau alat-alat yang digunakan oleg murid-murid dalam segala Pelajaran mereka.

Juga belanja tambang keretapi atau kenderaan-kenderaan lain pergi dan balik sekolah sebab ramai bilangan ibu bapa Melayu luar bandar masa itu adalah dari golongan yang tidak mampu.

Kalau semua belanja tersebut ditanggung oleh kerajaan maka ini akan dapat menggalakkanIbu bapa Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah tersebut dengan tiada apa-apa keberatan.

KETIGA – Kerajaan hendaklah mengenakan hukuman yang berat kepada orang yang enggan menghantar anak-anak mereka ke sekolah itu, sama ada orang itu kaya atau pun miskin.

KEEMPAT – Kerajaan hendaklah menghukum dengan hukuman yang menggerakkan ke atas kanak-kanak yang malas atau melengahkan pelajarannya.

KELIMA – Apabila seseorang murid itu telah lulus dalam ketiga-tiga Pelajaran (a), (b) dan (c) tadi maka kerajaan hendaklah mengambilnya untuk dijadikan sebagai pegawai pelatih dengan diajar menjalankan segala pekerjaan negeri dengan diberi gaji yang patut.

KEENAM – Apabila mereka sudah cekap dan boleh menjalankan pentadbiran negeri yang ditugaskan kepada mereka maka Kerajaan hendaklah menyerahkan sekali jawatan atau pekerjaan itu kepada mereka selepas tempat itu kosong nantu.

Pemberian pekerjaan ini janganlah dibeza-bezakan antara anak-anak orang besar-besar dengan anak-anak orang miskin. Dan mereka hendaklah diberi gaji yang sama dengan pegawai-pegawai bangsa eropah yang sama tingkat jawatannya.

KETUJUH – Anak-anak yang telah lulus dari sekolah-sekolah itu dan jika bapanya ada kemampuan maka Kerajaan hendaklah memaksa bapanya supaya menghantar anak-anak itu ke eropah dengan belanja sendiri untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ilmu perubatan, kejuruteraan, perkapalan, ekonomi, ketenteraan, undang-undang dan kehakiman serta lain-lain pengajian dalam bidang pentadbiran negeri seperti yang terdapat di eropah.26

Penulis Muar ini mempercayai bahawa bangsa Melayu boleh bangun dan maju seperti bangsa-bangsa lain tetapi dengan syarat hendaklah diberi pelajaran yang cukup. Orang Melayu setakat ini jadi lemah dan ketinggalan kerana tidak belajar akan ilmu pekerjaan dan bukan sebab orang Melayu itu sedia bodoh.

Cadangan-cadangan tersebut telah disokong juga oleh Haji Mohd Tahir bin Haji Ahmad Bunjal, iaitu seorang guru Sekolah Melayu di Pulau Tawar, Kuala Lipis, Pahang. Menurut Haji Mohd. Tahir, pelajaran yang sempurna haruslah dikawal oleh ibu bapa dan dikelolakan oleh kerajaan, dari peringkat yang serendah-rendahnya hinggalah ke peringkat yang paling tinggi.

Sistem pelajaran yang dimaksudkan itu mestilah dikenakan secara paksaan. Haji Mohd. Tahir telah membuat cadangan empat peringkat persekolahan atau Pelajaran seperti berikut:27

a) Sekolah Rendah:
Iaitu seperti beberapa buah sekolah yang telah pun didirikan oleh Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu di kampung-kampung (sekolah-sekolah Melayu) yang di bawah jagaan penghulu-penghulu. Dalam satu mukim hendaklah didirikan sekurang-kurangnya dua atau tiga buah iaitu apabila ada kanak-kanak seramai lima puluh atau lebih maka kerajaan mestilah mendirikan sebuah sekolah.

Seseorang guru itu mestilah mengajar bilangan murid yang tidak lebih daripada tiga puluh orang sahaja. Sesebuah sekolah itu mesti ada seorang guru besar dengan beberapa orang guru penolongnya termasuk seorang guru Quran iaitu sebagai guru agama

Kelas Perempuan pula harus diadakan tetapi setakat darjah tiga saja iaitu dengan tujuan untuk memberi pejaran membaca Quran dan pelajaran agama supaya nanti dapat sekolah itu mengeluarkan ibu-ibu yang berpelajaran.

Bagi murid-murid lelaki pula, apabila telah lulus darjah empat maka kanak-kanak itu hendaklah dimasukkan ke sekolah Peringkat Dua pula. (Sekolah peringkat Dua ini masih belum ada di negeri-negeri Melayu, kata Haji Tahir).

b) Sekolah Peringkat Dua:
Sekolah jenis ini harus didirkan sebuah pada tiap-tiap daerah (jajahan) di bawah pengawasan Pegawai Daerah. Dalam sekolah ini mestilah dilantik dua orang guru besarnya (mungkin seorang guru besar dan seorang penolongnya) dan beberapa orang guru pembantunya; dan hendaklah mereka itu daripada orang Islam belaka.

Pelajaran Bahasa Inggeris hendaklah diajarkan selama 4 ½ jam dalam sehari iaitu dari pukul 7.00 pagi hingga pukul 11.30 pagi. Pada sebelah tengahari pula muridnya dikehendaki bersembahng Zuhur berjemaah di surau. Lepas itu Pelajaran Bahasa Arab pula hendaklah diajarkan iaitu selama 3 jam dalam sehari – dari pukul 12.30 tengahari hingga pukul 3.30 petang. Dan Pelajaran harian sekolah-sekolah tersebut mestilah diakhiri dengan sembahyang Asar.

c) Sekolah peringkat Tiga:
Sekolah jenis ini hendaklah diadakan pada tiap-tiap negeri iaitu sebagai sebuah sekolah besar atau sekolah pusat tempat melanjutkan Pelajaran oleh murid-murid yang telah lulus dari sekolah Peringkat Dua. Sekolah ini ialah seperti sekolah yang telah dibina oleh Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu di Kuala Kangsar (Maktab Melayu Kuala Kangsar).

Guru besarnya hendaklah seorang Inggeris atau Belanda serta hendaklah diadakan seorang lagi guru Arab yang boleh menjadi Mufti serta beberapa orang guru yang beragama Islam. (Maksud guru Arab itu ialah guru Bahasa Arab yang berkelulusan tinggi seperti kelulusan untuk menjadi Mufti negeri-negeri Melayu).

d) Sekolah Peringkat Empat – Sekolah-sekolah luar negeri:
Murid-murid yang telah lulus dari Sekolah Peringkat Tiga hendaklah dihantar ke luar negeri.
Atas cadangan system Pelajaran yang dikemukakan oleh penulis dari Muar (tidak diketahui namanya) dan yang telah disokong pula oleh Haji Mohd. Tahir ini maka Al-Imam telah menggesa orang Melayu supaya memberikan sokongan.

Al-Imam menyeru orang Melayu menyuarakan perkara ini kepada pihak Raja-raja Melayu dan Pesuruhjaya Tinggi British agar mengadakan wang peruntukan khas untuk sekolah-sekolah tersebut bagi penggunaan belanja-belanja memajukan pelajaran tersebut. Untuk mengadakan wang peruntukan tersebut harus diperolehi daripada punca-punca yang berikut:28

a. Daripada Pegawai Kerajaan dan Swasta:
Mereka hendaklah mendermakan satu peritus daripada pendapatan bulanan (termasuk mereka yang telah bersara) iaitu dengan jalan dipotong gaji mereka. Kerajaanlah yang harusnya menjalankan pemotongan ini.

b. Daripada Golongan Saudagar:
Mereka patut mengeluarkan satu peratus daripada keuntungan tiap-tiap bulan. Kerajaan hendaklah memotong sendiri dari keuntungan atau laba mereka. Untuk memudahkan pekerjaan itu hendaklah ditaksirkan sebagai sepuluh peritus daripada modalnya.

c. Daripada Orang Ramai terutama Kaum Tani.
Satu peratus daripada pendapatan mereka hendaklah dipotong pada tiap seorang lelaki ialah lima puluh ringgit jadi hendaklah dipotong sebanyak lima puluh sen; dan bagi orang perempuan pula dianggarkan dua puluh lima ringgit jadi hendaklah dipotong sebanyak dua puluh lima sen.

24 Al-Imam, 18 Disember 1906, hlm 176
25 Ibid
26 Ibid
27 Al-Imam, 14 Mei 1907, hlm 339
28 Ibid. hlm 340

  • Penulis ialah kelulusan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya tahun 1970
Facebook
Twitter
WhatsApp