TERKINI

Al-Imam (Siri 9)

Abdullah bin Haji Jaafar
Perjuangannya /8

Majalah Al Imam – foto Farhan_Zuhri

Atas mereka itu bagi hak saudaranya yang fakir dan miskin…”44 Kepada raja-raja dan orang-orang besar Melayu Al-Imam mengingatkan bagaimana umat Islam di Tanah Melayu dalam seribu hanya satu yang separuh sempurna dalam agama, dan dalam seratus “hanya satu yang pandai menulis bahasanya sendiri….”45

Inilah satu keadaan dan penyakit besar masyarakat Melayu. Cara mengubatinya ialah dengan pelajaran, dan pelajaran itu mesti dengan harta, dan harta serta wang itu adalah terletak di tangan raja-raja, pembesar-pembesar dan orang kaya-kaya.

Oleh itu Al-Imam menyeru supaya ketiga-tiga golongan ini mengambil daya usaha memberi serta menggalakkan pelajaran dikalangan orang Melayu.

Menyentuh soal perluasan kuasa penjajah-penjajah Barat, Al-Imam dengan secara umum telah mengecamnya sebab “… tiada mengambil peduli oleh mereka itu akan apa-apa perkataan daripada yang empunya bumi”46

Secara bermaharajalela mereka telah merampas bumi-bumi yang dijajahi tanpa mengendahkan larangan-larangan atau apa-apa syarat daripada anak negeri di situ. Mereka telah memaksakan sistem politik dan ekonomi Barat ke atas tanah jajahan tanpa menyiasat terlebih dahulu sama ada ia sesuai atau tidak dengan adat resam dan suasana Masyarakat tempatan.

Mereka juga telah membawa masuk agama yang menyalahi agama-agama anak negeri. Selain dari itu penjajah-penajajah Barat juga telah tidak mempedulikan tamadun dan agama bangsa-bangsa tempatan.

Mereka dengan sewenang-wenang menganggap bahawa tamadun dan agama mereka itulah yang paling tinggi di dunia ini, walaupun sebenarnya ada setengah-setengah tamadun tempatan itu lebih tua dan lebih maju daripada tamadun Barat.

Berdasarkan sejarah telah jelas bahawa perluasan kuasa penjajahan Barat itu tiada tujuan lain yang besarnya melainkan kerana cita-cita yang ia akan memungut faedah daripada negeri itu dan berlumba-lumba dikalangan kuasa-kuasa Barat itu sendiri dengan tujuan politik masa depan.

Mereka itu lebih unggul dalam ketenteraan dan sebab itu kebanyakkannya menggunakan kekuatan dan kekerasan untuk mendapatkan tanah jajahn.47

Tetapi sekarang ini telah muncul kuasa Jepun untuk menandingi kuasa-kuasa Barat tersebut. Kemenangan Jepun dalam peperangnnya dengan Rusia pada 1905 adalah satu-satunya peristiwa yang bersejarah dalam dunia moden kerana sebuah kuasa Timur telah berjaya menumpaskan suatu kuasa kulit putih dari Barat; dan kemenangan 1905 itu telah menjadi satu tamparan hebat kepada kuasa-kuasa Barat yang masa itu menguasai wilayah-wilayah Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Kepada Al-Imam, peristiwa 1905 itu bolehlah dijadikan ilham oleh orang Melayu untuk membentuk sikap baru terhadap hidup dan terhadap layanan-layanan dari pihak British.

Telah tibalah masanya bagi orang Melayu bersuara kepada pemerintah British dan Melayu. Secara lembut dan tidak langsung Al-Imam telah mengkritik sistem ekonomi British dan kapitalis. Bersambung

44 Al-Imam, 16 Mac 1907, hlm 273

45 Ibid

46 Al-Imam, 14 April 1907, hlm 316

47 Ibid, hlm 318

* Penulis ialah kelulusan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya tahun 1970

Facebook
Twitter
WhatsApp