TERKINI

Kebangkitan Anti-British Di Semenanjung Tanah Melayu

Penghulu Dol Said

Suatu perkara yang tidak kurang menariknya dalam perkembangan Sejarah Semenanjung Tanah Melayu ialah wujudnya gerakan anti-British di negeri-negeri Melayu. Gerakan ini merupakan suatu tentangan terhadap British kerana terutamanya berlaku campur tangan di negeri-negeri Melayu.

Apa yang perlu dinyatakan di sini, British sesungguhnya menghadapi beberapa tentangan dari golongan orang Melayu tertentu sebelum menguatkan kekuasaan dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu itu.

Dalam usaha membincangkan kebangkitan anti-British di Semenanjung Tanah Melayu ini, tumpuan akan diberikan kepada gerakan anti-British di Naning (1831—1932), Perak (1875), Negeri Sembilan (1875), Pahang (1891—1895), Kelantan (1915) dan Terengganu (1922—1928).

Gerakan anti-British di negeri-negeri Melayu dapat dibahagikan kepada tiga bentuk: pertama-tamanya gerakan yang dipimpin oleh golongan bangsawan seperti di Naning, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang; keduanya, yang dipimpin oleh orang biasa (bukan dari golongan bangsawan) tetapi di bawah arahan golongan bengsawan seperti di Pasir Putih, Kelantan; dan yang ketiganya, dipimpin oleh ulama seperti yang berlaku di Terengganu. Dalam penghuraian nanti beberapa aspek akan disentuh.

Pertama-tamanya kenapakah berlakunya gerakan anti-British? Kemudiannya akan disentuh secara ringkas tindakan yang diambil oleh orang Melayu dalam gerakan-gerakan ini. Seterusnya penentuan sama ada gerakan-gerakan itu bercorak penderhakaan, pemberontakan atau hanya anti-British semata-mata.

British Di Naning

Walaupun British belum bertapak dan meletakkan wakilnya di Naning, tetapi pemerintahan British di Melaka cuba melaksanakan beberapa peraturan baru di situ dan ini bercanggah dengan nilai-nilai tradisi. Pihak British mengakui Naning sebahagian daripada Melaka.1

Dakwaan ini didasarkan kepada perjanjian dalam tahun 1801 antara Kolonel Aldwell Taylor, wakil British, dengan Penghulu dan Empat Suku Naning. Bagi Naning perjanjian ini didasarkan kepada Perjanjian antara Belanda dengan Naning dalam tahun 1623. 2

Oleh kerana British menganggap Naning sebahagian daripada Melaka, dan secara automatik di bawah pentadbiran British, maka segala kes jenayah yang berlaku di Naning hendaklah dibawa ke Melaka. Selain daripada itu undang-undang Negeri-negeri Selat boleh dilaksanakan di Naning.

Langkah yang diambil oleh British ini telah mencabar kedudukan tradisi Penghulu Dol Said sebagai pemerintah Naning. Dikatakan demikian kerana berdasarkan arahan ini Penghulu Dol Said tidak boleh menyelesaikan kes jenayah di Naning.

Ini dapat dilihat apabila Penghulu Dol Said menyelesaikan kes jenayah, beliau telah diberi amaran oleh British yang menuduh Penghulu Dol Said tidak mematuhi perintah dan arahan daripada Melaka.3

Penghulu Dol Said tidak mengendahkan arahan British ini; malahan beliau mengarahkan pengikut-pengikutnya supaya jangan memathui arahan British yang cuba menjalankan bancian di Naning. Sesungguhnya, Tindakan Penghulu Dol Said ini disebebkan beliau berpendapat bahawa Naning adalah sebuah negeri yang bebas atau sekurang-kurangnya tidak patuh kepada pemerintah adding di Melaka.4

Bersambung.

1 Straits Settlements Records, Minute by Mr. Garling (t.t) SSR, A63, Malacca Consultation, Minutes by President R. Fullerton, 2 Mac 1829.

2 Berdasarkan Perjanjian 1643, Naning sanggup membayar 1/10 daripada hasil tahunannya kepada Belanda di Melaka. Sila lihat Colonial Office (C.O. 273/1, Chapter VII – Malacca Naning War, hlm. 410. L.A. Milss, British Malaya 1824—1867, Kuala Lumpur, 1966, hlm. 116. Abdullah Zakaria bin Ghazali, “Perjuangan Orang-orang Melayu Naning Menentang British 1831—1832”, Jurnal Sejarah, Persatuan Sejarah Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1977/78, hlm. 14.

3 C.O. Bladgen, “Appendix: Malay Documents Relating to Naning War Introductory Note”, dalam L.A. Milss, “British Malaya 1824—1867”, Jurnal of the Malayan Branch Royal Asiatic Society, Vol. III, Pt/ II, November 1925, surat Samuel garling, Residen Konsular Melaka kepada Penghulu dan Empat Suku Naning, 20 Jun 1829.

4 R.O. Winstedt, Malay and Its History, London, 1969, hlm. 56.

* Abdullah Zakaria b. Ghazali : Penulis adalah seorang pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya

Facebook
Twitter
WhatsApp