TERKINI

Kebangkitan Anti-British Di Semenanjung Tanah Melayu – Bah 7

Abdullah Zakaria b. Ghazali

British di Terengganu

Gerakan Anti British di Terengganu 1922-1928.

Begitu juga di Terengganu apabila Penasihat pertama kali dilantik pada tahun 1919, satu demi satu peraturan-peraturan baru diperkenalkan. Apa yang jelas, peraturan baru yang diperkenalkan ini adalah asing dan bercanggah dengan nilai-nilai tradisi.

Sebelum keterlibatan British dan pengenalan peraturan baru, orang-orang Terengganu bebas membuka tanah membuat huma, bercucuk tanam, mengambil hasil-hasil hutan dan juga memburu.

Setelah pentadbiran British diwujudkan mereka terlebih dahulu dikehendaki mengambil pas20 dan juga membayar hasil tanah. Ini dianggap menyusah dan membebankan mereka.

Di samping itu terdapat juga pegawai-pegawai yang bertugas ketika memungut hasil dan mengeluarkan pas melakukan kekasaran. Selain daripada itu mereka yang membuka tanah, bercucuk tanam dan mengambil hasil hutan tanpa pas disaman, didenda dan dipenjarakan. Segala Tindakan ini menyinggung perasaan mereka yang terlibat.

Dalam keadaan ini muncul pemimpin-pemimpin tempatan di Telemong seperti Haji Zakaria atau Haji Kia, Mat Zin bin Mat Min dan Tok Janggut atau Lebai Deraman; dan di Kuala Brang pula seperti Ismail Kuala Por, Mat Tok Pitas, Penghulu Salleh Pasir Nyior, Abdullah Jurukaka dan Abu Bakar Chinting.

Kesmeua mereka ini di bawah arahan dan pimpinan Haji Abdul Rahman Limbong. Mereka ini menjalankan kempen anti-British. Kebanyakan penduduk pedalaman Terengganu kecuali jajahan Besut dan Kemaman turut serta menyokong gerakan menentang British di Terengganu.

Apa yang menarik di Terengganu ini, unsur agama begitu ketara dalam gerakan anti-British. Ajaran-ajaran yang disebarkan menegaskan bahawa sesiapa yang mematuhi peraturan baru adalah menyebelahi orang-orang kafir.

Seterusnya ditegaskan juga bahawa segala peraturan baru yang diperkenalkan itu adalah undang-undang kafir.

Ajaran ini disebarkan oleh Haji Musa bin Abdul Ghani ketika beliau mengajar ilmu agama, memungut zakat dan fitrah di Kawasan Kuala Brang.21 Selain daripada itu Haji Abdul Rahman Limbong pernah menegaskan bahawa tanag adalah hak Allah dan pihak pentadbiran tidak boleh mengambil cuaki ke atas tanah.22

Kata-kata Haji Abdul Rahman Limbong ini sudah pasti didengari oleh orang-orang kampung tambahan pula beliau adalah seorang ulama. Pengaruh Haji Abdul Rahman Limbong begitu meluas dan kuat di Terengganu, terutamanya di Kawasan tengah Sungai Terengganu.

Lebih penting lagi, beliau menggunakan pengaruhnya bukan untuk kepentingan sendiri.23 Begitu juga dengan Haji Musa bin Abdul Ghani; beliau adalah seorang ulama yang disegani dan sudah pasti kata-katanya didengari oleh penduduk di Kawasan Kuala Brang.

Tambahan pula semasa menghuraikan tentang perkara ini, Haji Musa menggunakan ayat-ayat suci al_quran dan hadis bagi menguatkan hujahnya.

Orang-orang pedalaman Terengganu bangkit menentang pengenalan paeraturan-peraturan baru ini pada tahun-tahun 1922, 1925 dan 1928. Akibat daripada tidak mengikut peraturan baru empat puluh tiga orang telah dihadapkan ke mahkamah pada tahun 1922.

Dalam perbicaraan ini Haji Abdul Rahman menjadi pembela kepada mereka. Walaupun beberapa kali perbicaraan diadakan, pihak kerajaan mengalami kegagalan. Akhirnya kes ini tamat tanpa keputusan mahkamah. Tiga tahun kemudian (1925), berlaku pula perhimpunan di Telemong.

Mereka yang berkumpul ini membersihkan tanah yang didakwa kepunyaan Tengku Nik Maimunah (puteri Sultan Zainal Abidin III dan saudara kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah yang memerintah pada masa kejadian ini) dan tanah di sekitar Kawasan itu tanpa mendapat kebenaran kerajaan.

Seterusnya pada tahun 1928, sekali lagi orang-orang pedalaman Terengganu bangkit menentang peraturan baru, kali ini lebih besar daripada tahun-tahun 1922 dan 1925.

Pemimpin-pemimpin yang terlibat pada tahun 1928 ini adalah juga mereka yang terlibat pada tahun-tahun 1922 dan 1925. Dalam kebangkitan tahun 1928 ini mereka berkumpul di Kuala Brang dan di Kampung Pelam, Telemong.

Pasukan Kuala Brang menduduki bangunan kerajaan di situ, iaitu setelah kakitangan di sini mengundurkan diri ke Kuala Terengganu.

Kerajaan Terengganu yang dinasihati oleh British selanjutnya menghantar paskan mata-mata Terengganu di bawah pimpinan Datuk Seri Lela Diraja untuk menawan semula Kuala Brang.

Pasukan ini tidak sampai ke Kuala Brang kerana terlebih dahulu diberitahu bahawa kumpulan dari Kuala Brang telah pun mara ke Kuala Terengganu. Dengan itu pasukan kerajaan ini berundur dan singgah di Kuala Telemong.

Mereka pun membuat pertahanan di Padang Kachong. Kemudiannya kumpualn dari Kampung Pelam dan Telemong, bergerak dan apabila tiba di Padang Kachong mereka telah diberi amaran oleh pasukan kerajaan. Ada di antara mereka mengikuti amaran itu dan tidak kurang juga yang tidak mematuhinya.

Dengan itu pasukan kerajaan, setelah menerima arahan daripada Datuk Seri Lela Diraja, melepaskan tembakan tidak berhenti-henti. Akibat tembakan ini sebelas orang terbunuh, di antara mereka termasuklah Tok Janggut (Lebai Deraman).

Kumpulan dari kuala Brang yang sedang mara ke Kuala Terengganu ini, apabila mendapat berita kematian di Padang Kachong, lalu berpecah dan pulang ke rumah masing-masing.

Kemudiannya pasukan polis bantuan berjumlah lima puluh orang dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu dihantar ke Terengganu untuk membantu memulihkan keamanan dan menangkap mereka yang terlibat. Ketua-ketua yang terlibat di dalam kebangkitan 1928 ini ditangkap.

Namun demikian setelah dijalankan perbicaraan, ada diantara mereka seperti Penghulu Salleh Pasir Nyior dibebaskan, manakala Haji Kia dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara dengan kerja berat; Ismail Kuala Porlima belas tahun penjara dengan kerja berat; Abu Bakar Chinting dan Abudllah Jurukak sepuluh tahun penjara dengan kerja berat; Engku Mat Kuala Pueh, Haji Tahur Gunung, Mat Tok Pitas lima tahun penjara dengan kerja berat; dan Lebai Hasan lima tahun dan kerja berat.24 Haji Abdul Rahman Limbong, setelah dibicarakan, didapati bersalah dan dibuang negeri ke Mekah.

Bersambung…

19 J. de V. Allen, “The Kelantan Rising of 1915; Some Thoughts on the Concept of Resistance in British Malayan History”. Journal of Southeast Asian History, Vol. 9. No. 2, September 1968, hlm. 245.
20 Abdullah Zakaria bin Ghazali, “Kekacauan dan Kebangkitan Terengganu 1921—1928’, Tesis M.A. Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 1976, hlm. 214. Setiausaha Kerajaan Terengganu 1295/1346, Persembahan rakyat-rakyat dihadapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, 15.11.1346 (6.5.1928).
21 Abdullah Zakaria bin Ghazali, “Haji Musa bin Abdul Ghani: Peranannya Dalam Kempen Anti-British Di Terengganu”, Malaysia in History, Vol. 20, No.1, Jun 1977, hlm. 35.
22 Colonial Office 717/61, J.L. Humphreys kepada Mr. Beckett, 22.4.1928, terlampir laporan J.L. Humpreys (confidential) ‘Report on certain matter connected with one Haji Drahman (Haji Abdul Rahman) of Terengganu’, 24 Nov. 1922, hlm. 1.
23 Abdullah Zakaria bin Ghazali, “Haji Abdul Rahman bin Abdul hamid (Haji Abdul Rahman Limbong) Terengganu”, Malaysia in History, Vol. 19. No. 1, June 1976, hlm. 13.
24 Abdullah Zakaria bin Ghazali. “Kekacauan dan Kebangkitan Terengganu 1921—1922, hlm. 314

  • Penulis adalah seorang pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya
Facebook
Twitter
WhatsApp