TERKINI

NASIONALIS Dan Perjuangan Bangsa Melayu – 4

KEBENARAN (AL-HAQQ)

Gambar Hiasan – malayadaily.com

Yang dimaksudkan dengan kebenaran di sini adalah hakikat sesuatu yang berpaksikan kepada ilmu. Kebenaran adalah perkara asas bagi manusia kerana dengannya sahajalah manusia memahami dengan tepat segala perkara termasuk realiti yang ada di sekelilingnya.

Kefahaman yang tepat ini tadi membolehkan segala tindakan atau keputusan yang dilakukan akan membawa kepada hasil yang dikehendaki iaitulah pembangunan negara yang membawa kepada kehidupan yang baik serta hakikat kebahagiaan.

Kebenaran berpaksikan ilmu ini lahir daripada kesepaduan antara kefahaman yang betul terhadap wahyu serta penggunaan akal secara waras.

NASIONALIS tidak bersikap memperkecilkan sebarang ilmu tetapi melihat ilmu itu secara menyeluruh yang membolehkan manusia mencapai erti khalifah dalam kewujudannya.Hilangnya makna kebenaran akhirnya membawa kepada pelbagai krisis kemanusiaan zaman berzaman hingga pada hari ini.

Manusia berbunuhan atas penipuan, manusia sengsara atas eksploitasi ilmu, manusia bertelagah akibat kabur dalam melihat kebenaran dan banyak lagi erti kezaliman lainnya akibat hilangnya nilai kebenaran dalam kehidupan manusia.

Begitu jugalah apa yang kita lihat di dalam negara pada hari ini, apabila kefahaman segala perkara tidak berpaksikan kebenaran maka berlakulah kecelaruan dalam pembangunan serta kekaburan dalam menentukan masa hadapan negara.

Kita terus dijanjikan kemajuan dan pembangunan oleh pelbagai pemimpin yang bersilih ganti namun akhirnya kesemua usaha tersebut masih tidak membawa kepada makna kehidupan yang baik bahkan lebih teruk membawa kepada kesengsaraan hidup dan seterusnya membawa kepada kehancuran negara.

Oleh sebab itu pentingnya negara ini dibangunkan kembali berlandaskan kepada kebenaran. Perlunya dibangunkan setiap polisi dan perancangan negara bersandarkan kepada kajian dan kefahaman teoritikal yang betul.

Institusi keilmuan di dalam negara perlu diangkat fungsi serta peranannya dalam menyumbang pembangunan negara. Negaralah yang sepatutnya dipandu oleh keilmuan, dan bukan institusi tersebut yang dipaksa mengikut kehendak negara seperti yang berlaku hari ini.

KEADILAN (AL-ADALAH)

Keadilan hanya akan terhasil apabila kita mampu memahami segala perkara berpaksikan kepada kebenaran yakni ilmu. Adil ini membawa erti meletakkan sesuatu pada tempatnya. Maka bagaimana kita boleh meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa memahami letak duduk setiap perkara dengan tepat.

Lawan kepada tidak tertegaknya keadilan ini adalah kezaliman, iaitulah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya hingga membawa kepada kekacauan.

Cinta kepada keadilan adalah fitrah yang sudah tertanam dalam diri setiap insan. Manusia benci kepada sebarang bentuk kezaliman kerana ia akan membawa kesakitan dan kesengsaraan dalam kehidupan. Oleh kerana itu keadilan sentiasa menjadi slogan pada mana-mana kepimpinan termasuk dalam negara kita.

Namun yang sepatutnya menjadi persoalan adalah apakah yang mereka fahami dengan keadilan, dan bagaimanakah kita melihat keadilan itu dapat ditegakkan?

Inilah yang membezakan NASIONALIS dengan lainnya dalam memahami mafhum keadilan. NASIONALIS tidak melihat ‘sama rata’ sebagai satu-satunya definisi kepada keadilan kerana ‘sama rata’ ini boleh jadi menafikan serta merampas hak sesuatu pihak untuk diberikan kepada pihak yang lain. Dengan itu adakalanya ‘sama rata’ adalah satu bentuk kezaliman.

Akibat kesalahfahaman inilah maka wujudnya seruan kesamarataanatas nama Malaysian Malaysia hingga mengetepikan hak orang Melayu yang sepatutnya memegang tampuk wewenang dalam kepimpinan negara.

Sepatutnya atas nama keadilan inilah kedaulatan Islam dan bangsa Melayu diangkat sebagai kepimpinan yang memacu pembangunan negara. Dengan adanya rangka keadilan yang tepat, ia membolehkan kita membangunkan negara ini secara menyeluruh hingga membolehkan mencapai makna pembangunan yang sebenar bagi rakyat secara amnya.

TANGGUNGJAWAB (MAS’ULIAH)

Dunia pada hari ini banyak membahas tentang hak bermula daripada rangka hak individu hinggalah pada hak rakyat dan sebagainya. Namun sebenarnya aspek yang banyak diabaikan adalah soal tentang tanggungjawab atau boleh disebut sebagai kewajipan.

Manusia itu pada asasnya dibina atas tanggungjawab serta peranan yang jelas sebelum dibahas tentang haknya. Di
atas tanggungjawab berpaksikan kebenaran inilah baru tertegaknya rangka hak setiap manusia.

Setiap kelompok dalam masyarakat perlu diajar bahawa apa sahaja tindakan yang mereka lakukan akan memberi implikasi secara khusus atau am supaya mereka berasa bertanggungjawab. Berbahas tentang hak tanpa membahas tentang tanggungjawab, membawa kepada kebebasan yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

Akhirnya kebebasan inilah yang membawa kepada kecelaruan seperti yang dapat kita lihat sedang berlaku di Barat hari ini. Atas nama hak mereka telah membuang agama dan tuhan daripada struktur kehidupan.

Atas nama hak mereka telah meruntuhkan asas moral dalam kehidupan sosial bermasyarakat. Akhirnya hak itu tidak membawa kebaikan bahkan lebih teruk membawa kepada kebinasaan.

Masyrakat perlu dididik untuk menghayati kembali kewajipan sebagai warganegara. Setiap daripada kita bertanggungjawab memelihara negara ini daripada sebarang ancaman sama ada dari dalam atau luar, yang berlaku terhadap struktur asas kenegaraan membabitkan Islam, Melayu serta

Institusi Raja. Tanggungjawab menjaga negara, membangunkan negara, memelihara struktur kenegaraan dan sebagainya sepatutnya menjadi perkara asasi tanpa perdebatan sebagai warganegara Malaysia.

Apabila setiap segmen di dalam negara bermula dari rakyat bawahan sampai pemimpin atasan mampu melaksanakan tanggungjawab ini secara bersama serta holistik barulah ia akan membawa kestabilan negara.

Tanggungjawab seperti ini yang akan membuahkan kehidupan yang baik pada setiap rakyat hingga membolehkan kita bersatu padu dalam membawa negara ini kepada erti kemajuan yang sebenarnya.

Facebook
Twitter
WhatsApp