TERKINI

Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (6)

Journal of Nusantara Studies 2017, Vol 2(1) 27-39 | Universiti Sultan Zainal Abidin
Raja-raja Dalam Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 : Satu Kajian Sejarah Perundangan

Gambar hiasan

Kontrak Sosial

Kontrak sosial yang dimaksudkan di sini merujuk kepada apa yang dipopularkan oleh sebahagian besar golongan ilmuan yang mentafsirkan persejarahan tanah air mengikut kacamata golongan elit penjajah (colonial knowledge).

Mereka meletakkan hasil rundingan golongan nasionalis dalam kalangan pemimpin-pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang dimartabatkan sebagai ‘our nation founding fathers’ sebagai pihak yang memuktamadkan terma-terma Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dengan pihak British (Thomas, 2007, p. 26).

Sebagai contoh, Thomas (2007) mendakwa kunci kontrak sosial termaktub dalam Perkara 3 (Agama Persekutuan), Perkara 4 (Undang-Undang Tertinggi), Fasal (1) Perkara 8 (Hak Kesamarataan), Fasal (2) Perkara 8 (Anti Diskriminasi), Perkara 11 (Kebebasan Beragama), Perkara 12 (Hak Pendidikan), Perkara-Perkara 14-31 (Kewarganegaraan), Perkara 152 (Bahasa Kebangsaan dan bahasa-bahasa lain), Perkara 153 (Perizaban kuota berkenaan permit dan lain-lain bagi orang Melayu dan anak Negeri) dan Perkara-Perkara 161-161H (Perlindungan Tambahan bagi Sabah dan Sarawak).

Pendapat yang lebih kritikal menafikan sama sekali kemurahan hati orang Melayu yang sanggup membenarkan kewarganegaraan kepada bukan Melayu, penulis itu mendakwa hak tersebut dikurniakan oleh Perlembagaan melalui kuatkuasa undang-undang.

Dalam pada itu juga, ia menuntut pengiktirafan diberi atas kemurahan hati orang bukan Melayu yang bersetuju untuk mengakui hak keistimewaan orang-orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuklah penerimaan mereka terhadap Dasar Ekonomi Baru (Sivakumar, 2010).

Amat perlu disingkapkan bahawa di belakang tabir pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu, terdapat satu himpunan peristiwa yang amat besar dalam sejarah.

Ia termasuklah Perjanjian Pangkor 1874, Perjanjian Negeri-Negeri Melayu Bersekutu 1895, penubuhan Durbar, penubuhan Majlis Persekutuan 1909, Desentralisasi (1927-1930-an), Perjanjian 1934 (satu perjanjian yang menggagalkan usaha untuk menubuhkan sebuah Pentadbiran Pusat), Piagam Atlantik 1941 dan peranan agensi-agensi pentadbiran di London (meliputi Colonial Office, House of Commons, House of Lords dan War Cabinet).

Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dicapai melalui ‘cara perlembagaan’seperti negeri-negeri bawah Perlindungan British (Parmer, 1957, p. 145).

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menurut Abas (2015, p. 6) digubal secara ‘Konvensyen Perlembagaan (constitutional convention)’ atau berasaskan amalan-amalan konvesyen yang diwarisi daripada Kerajaan-Kerajaan Negeri Melayu.

Ini sekaligus menyebabkan unsur-unsur dan amalan-amalan warisan Kesultanan Melayu Melaka masih wujud dan berkekalan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 tidak membawa perubahan besar yang bertentangan dengan warisan lampau Kesultanan Melayu Melaka zaman berzaman.

Hakikat ini diungkapkan oleh Fernando (2002, pp. 115-116) yang melakukan kajian khusus tentang proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, seperti berikut:

The task facing the Reid Commission was aptly summed up by Jennings: “Malaya will need to inherent a system which is understood and is practical, so that the aim should be to create a constitution compatible with the Terms of Reference, which does not depart radically from the present system.” This recognition of the need for continuity tempered greatly the work of the Commission. They did not attempt to introduce any radical or revolutionary changes, focusing instead on achieving a compromise between the conflicting and sometimes extreme demands of Malaya’s plural society. The sum of their efforts was a conservative and democratically inclined Constitution which retained a large measure of continuity with the past while anticipating problems.

Seperti yang telah dijelaskan, selain daripada peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang merakamkan unsur-unsur watan dalam bentuk perlembagaan bertulis bersifat moden sebagaimana pandangan Abas (2015), peruntukan lain merupakan persetujuan Raja-Raja Melayu setelah menimbangkan kerelaan bangsa asal atau Rakyat Raja untuk memberikan status warganegara kepada kaum penghijrah dan rakyat British dengan syarat-syarat tertentu.

Ringkasnya, segala yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 adalah apa yang dipersetujui oleh Raja-Raja Melayu.

Bersambung

Facebook
Twitter
WhatsApp