TERKINI

Retrospektif : Al-Imam ( Siri 2)

Abdullah bin Haji Jaafar

Perjuangannya /1

Foto Farhan Zuhri

Sebenarnya mereka yang terlibat dalam penerbitan Al-Imam itu mempunyai cita-cita yang diilhamkan oleh gerakan islah yang dipelopori oleh Jamaluddin al-Afghani dan Mohd. Abduh di Mesir.

Gerakan islah itu bertujuan membawa orang Islam kembali kepada ajaran Islam yang berdasarkan Quran dan Hadis kerana, menurut para pemuka gerakan itu, di kalangan orang Islam masih terdapat perasaan kuno dan kepercayaan karut sehingga timbul salah faham dan akibatnya dunia Islam tertinggal dalam zaman moden.

Untuk memberi kesan kepada perjuangan itu, di Mesir telah diterbitkan majalah al-Urwatul Wusqa diikuti dengan al-Manar.

Di Tanah Melayu, dan juga Sumatera, golongan islah ini lebih biasa dikenali sebagai Kaum Muda4.

Golongan ini berpendapat bahawa amalan agama Islam di kalangan orang Melayu adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam kerana banyak terdapat khurafat dan bidaah.

Itulah, menurut Kaum Muda, punca kelemahan masyarakat Melayu. Dengan tujuan mahu mencvelikkan mata orang Melayu maka diterbitkan Al-Imam.

Perjuangan Kaum Muda ini berterusan sehingga masa sekarang. Mereka ditentang oleh golongan konservatif yang mahu mengekalkan amalan tradisi orang Melayu dalam bidang agama. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Tua.

Pada 23 Julai 1906 terbitlah keluaran pertama majalah bulan Al-Imam. Majalah ini bertulisan Jawi dan diterbitkan di Singapura.

Kesemuanya 31 keluaran dapat diterbitkan di antara bulan Julai 1906 dengan bulan Disember 1908. Majalah ini dinamakan Al-Imam (yang bererti ‘pemimpin’) kerana ia berharap dapat “… mengingatkan mana-mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan mana yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan kepada mereka itu [orang Melayu].”

Dari awal-awal lagi Al-Imam telah menekankan akan pentingnya pelajaran terutama pengetahuan mengenai ilmu sejarah yang menurutnya merupakan kunci untuk kesedaran dan kemajuan satu-satu bangsa. Sejarah pula telah menunjukkan bahawa pelajaran adalah satu-satunya alat yang mustahak bagi satu-satu bangs aitu guna membangun dan mencapai kemajuan. Kata majalah itu:

                … adalah umat yang di Tanah Eropah tiada dapat ianya membentangkan pemerintahannya daripada maghrib ke mashriq melainkan dengan ilmu, dan umat Jepun yang tiada lebih bilangannya daripada lima puluh million orang tiada dapat ianya mengalahkan akan umat yang berates-ratus million bilangannya melainkan dengan pengetahuan.6

Menurut Al-Imam selanjutnya, salah satu pelajaran dan pengetahuan yang penting ialah sejarah “kerana ialah ilmu yang merupakan segala hawadnya yang telah lalu boleh mengambil iktikbar dengan dia, dan boleh mengambil kiasan daripadanya bagi barang yang akan datang.”7

Oleh sebab itulah di dalam Al-Imam dikhaskan beberapa halaman yang dipenuhi dengan cerita-cerita sejarah Islam seperti kisah ketua-ketua agama di zaman dahulu, dan bagaimana mereka dapat menjalankan pemerintahan empayar dan menyelenggara serta mengembangkan agama Islam di dunia ini.

Ini adalah bertujuan supaya kisah-kisah seperti itu akan dapat dicontohi dan diteladani oleh raja-raja Melayu dan pihak pemerintah negeri-negeri Melayu.8

Al-Imam meminta orang Melayu supaya mengambil pengajaran daripada… – Bersambung

4 Lihat HAMKA, Ayah, Djakarta, 1950, hlm. 90

5 Dipetik daripqada Abdul Aziz bin Mat Ton, “Al-Imam Sepintas Lalu”, Jurnal Sejarah, Jilid XI, 1972/73 hlm. 29

6 AL-Imam,23 Julai 1906, hlm. 3-4

7 Ibid, hlm. 10

8 Ibid

* Penulis ialah kelulusan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya tahun 1970

Facebook
Twitter
WhatsApp