TERKINI

Retrospektif : Al-Imam ( Siri 3)

Abdullah bin Haji Jaafar

Perjuangannya /2

Penggerak majalah ‘Al-Imam’ – foto irfront.net

Orang Arab yang pada suatu ketika dahulu juga menghadapi zaman yang gelap – tidak bersatu padu, berpuak-puak dan sentiasa bermusuh-musuhan sesama mereka.

Tetapi zaman jahiliah itu telah lenyap apabila muncul Nabi Muhammad SAW yang diutuskan untuk memimpin mereka.

Maka di sekitar 1900, orang Melayu juga tenggelam di dalam kegelapan dan di saat itu muncullah Al-Imam untuk memberi bimbingan.

Menurut Al-Imam, memanglah dengan cara nasihat dan tunjuk ajar serta teguran-teguran itu tidak memadai untuk dijadikan alat bagi menegakkan bangsa Melayu, tetapi sekurang-kurangnya akan dapat memberi kesedaran di manakah letaknya bangsa Melayu masa itu jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain dan “dengannyalah kelak akan mengumpulkan segala perkakas kebajikan itu.”9

Untuk mengetahui penyakit bangsa Melayu dan bagaimanakah menyelesaikannya jalan yang paling baik dan perlu ialah dengan memahami ajaran Islam dengan cara yang sebenar-benarnya serta teliti.

Islam haruslah dipandang dan ditilik dengan kaca mata yang lebih luas sebab pemikiran dan pemandangan yang cetek dan sempit akan menjadikan sesuatu umat itu sesat.

Sebenarnya Islam dapat memenuhi bidang-bidang yang meliputi semua aspek hidup di dalam dunia moden ini iaitu aspek politik, ekonomi dan sosial.

Tetapi oleh sebab kurang dan ceteknya pengetahuan dan pelajaran di kalangan orang Melayu maka Islam telah dipandang dan dianuti dari sudut yang sempit. Anak-anak muda Melayu menyangka bahawa “orang yang beragama itu iaitulah orangnya yang sentiasa duduk di dalam masjid dan berkhalwat”.10

Sebab itulah anak-anak muda itu telah lari dan tidak sanggup mengerjakan ajaran Islam seumpama itu. Tambahan pula dasar-dasar dalam ajaran Islam yang sebenarnya tidak dimengerti oleh mereka.

Mereka itu telah menganuti kepercayaan yang salah, yang tidak seharusnya diikuti, iaitu mereka itu dalam keadaan sebagai pak turut saja tanpa mempunyai padangan dan fikiran yang kritis.

Sementara itu di satu pihak lain pula, iaitu golongan tua, telah membawakan satu pegangan yang salah. Mereka menganggap “bahawa adalah berlemah lembut dengan segala-gala bangsa (membuat perhubungan baik) dan bersuka-sukaan dan berhiasan rumah tangga kampung halaman atau pakaian diri dan mengetahui ehwal alam ini berlawanan dengan kehendak agama.”11

Golongan orang-orang tua ini akan mengerutkan muka dan menjauhkan iri dari itu semua padahal perkara-perkara tersebut adalah tidak menjadi larangan dalam Islam. Ini bermakna bahawa mereka telah menolak kunci untuk menuju ke arah kemajuan.

Al-Imam percaya bahawa golongan terdidik, iaitu terutamanya yang menerima didikan pelajaran dari Timur Tengah yang baru muncul itu, akan dapat menjalankan usaha untuk mengikis pendapat kolot ini daripada pegangan orang Melayu.

Kalau mereka berjaya maka “nescaya kembalilah umat kita kepada kemegahannya yang asal dan kemuliaannya yang lalu.”12

Al-Imam juga mempunyai harapan bahawa ulama-ulama dan cerdik pandai boleh mencapai cita-cita orang Melayu itu. Ia begitu optimis sekali dengan kata-katanya; “… ada dan boleh jika kita pandai memimpin tangannya.”13 Bersambung

9Ibid, hlm. 16

10 Ibid hlm 19

11 Ibid

12 Ibid hlm. 20

* Penulis ialah kelulusan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya tahun 1970

Facebook
Twitter
WhatsApp