ANKARA, 25 Ogos 2023 – Perayau (rover) misi bulan C India keluar dari pendaratannya dan bergerak merentasi debu bulan buat kali pertama, umum agensi angkasa negara itu pada Khamis.
India pada Rabu mencipta sejarah selepas misi bulannya mendarat secara sempurna, menjadi negara pertama mendaratkan kapal angkasanya di kutub selatan bulan.
“Perayau Ch-3 turun dari kapal angkasa dan India menjelajah bulan,” Agensi Anadolu melaporkan ciapan Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) di Twitter, seperti dipetik Bernama.
Agensi itu berkata pihaknya akan segera menyiarkan lebih banyak kemas kini mengenai misi itu.
Tidak lama selepas pendaratan yang berjaya, agensi itu berkata hubungan komunikasi telah diwujudkan antaranya dan kapal angkasa.
Ia juga menyiarkan imej yang diambil oleh kamera kapal angkasa semasa ia menurun dan selepas pendaratan. Agensi itu berkata Chandrayaan-3 “memilih kawasan yang agak rata di permukaan bulan.”
Dengan pendaratan itu, India menyertai senarai beberapa negara-negara – AS, Rusia, dan China – yang telah berjaya mendaratkan kapal angkasa di bulan.
India menerima tepukan gemuruh masyarakat dunia atas kejayaan misinya pada Rabu.
Perdana Menteri India Narendra Modi menyebut pendaratan itu sebagai “hari bersejarah bagi sektor angkasa lepas India” dan menyebut detik itu “belum pernah berlaku sebelum ini.”
Chandrayaan-3 dilancarkan dari Pusat Angkasa Satish Dhawan di Sriharikota di selatan negeri Andhra Pradesh pada Julai.
Tiga objektif utamanya adalah untuk mencapai pendaratan yang selamat dan sempurna di permukaan bulan, menggunakan perayau Pragyaan, dan menjalankan eksperimen saintifik. Chandrayaan-3 dijangka beroperasi selama 14 hari di bulan.
Pendaratan yang berjaya itu berlaku hanya beberapa hari selepas kegagalan Luna-25, misi bulan pertama Rusia dalam tempoh 47 tahun selepas enjinnya gagal berfungsi dengan baik.
Misi Chandrayaan-2 India pada 2019 gagal apabila pendarat Vikramnya terhempas ke permukaan bulan. Misi Chandrayaan pertama dilancarkan pada 2008. – Bernama