TERKINI

NASIONALIS Dan Perjuangan Bangsa Melayu – 2

Pendekatan ini bukanlah tindakan assobiyah sebagaimana yang didakwa dan difahami oleh sebahagian rakyat Malaysia. Ini kerana assobiyah yang tercela adalah apa yang disebut oleh Rasulullah sallahualaihisalam sebagai “membela kaum mu terhadap tindakannya yang zalim” (hadith).

Tetapi semangat cintakan bangsa dan berusaha untuk kebaikan bangsa itu sendiri, bukanlah assobiyah, bahkan ia adalah tuntutan agama.

Ibnu Khaldun pernah merumuskan di dalam kitabnya “Al-Muqaddimah” satu ungkapan: “tidak akan sempurna dakwah agama ini tanpa assobiyah (perasaan sayangkan bangsa)”.

Pandangan Ibnu Khaldun ini dirumuskan hasil dari penelitiannya yang panjang terhadap sejarah para Nabi alaihissalamtuwassalam di mana beliau merumuskan bahawa di antara sunnah dalam perjuangan para Nabi alaihissalamtuwassalam adalah:

“Tidak ada seorang Nabi pun yang diutuskan selepas Nabi Luth alaihisalam kecuali nabi-nabi itu akan mendapat pembelaan dari kaumnya.” (hadith).

Inilah apa yang dilakukan oleh Rasulullah sallahualaihisalam di dalam perjuangan Baginda sallahualaihisalam. Dakwah Rasulullah sallahualaihisalam bermula dengan pengukuhan kaum Quraisy.

Bani Hashim dan Bani Mutallib sebagai tonggak Quraisy mempertahankan Rasulullah sallahualaihisalam atas semangat kekeluargaan walau majoriti mereka masih belum Islam di Mekah. Rasulullah sallahualaihisalam juga meletakkan kaedah:

“Pemimpin-pemimpin mestilah dari kaum Quraisy.” (hadith).

“Akan terus menerus umat ini berada dalam kebaikan selagi mereka diperintah oleh 12 orang pemimpin dan kesemuanya adalah Quraisy.” (hadith)

Quraisy adalah bangsa tonggak di sejarah awal Islam dan sentiasa mendapat pemerhatian dan penumpuan oleh pemimpin Islam di zaman itu. Hilangnya tumpuan kepada bangsa Quraisy ini hanya bermula apabila bangsa tonggak kepada umat Islam pada masa itu berubah kepada bangsa-bangsa yang lain.

Meletakkan bahawa di dalam perjuangan ini adanya bangsa yang dianggap sebagai bangsa tonggak bukanlah satu kesalahan, bahkan ia adalah satu tindakan yang selari dengan petunjuk agama.

Dengan itu kita melihat di rantau Arab, bangsa Arablah yang menjadi tonggak kepada negara mereka sepanjang sejarah dari dahulu hingga ke hari ini. Di Turkiye, bangsa Turkilah yang menjadi tonggak di negara mereka. Maka demikianlah halnya di alam Melayu, bangsa Melayulah yang sepatutnya menjadi tonggak negara mereka.

Ini dapat kita lihat dengan jelas terutamanya kepada tiga negara yang masih meletakkan Melayu sebagai asas negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei. Kita melihat perubahan kepada keutuhan beberapa negara yang asalnya adalah negara Melayu apabila negara tersebut tidak memberikan penumpuan kepada bangsa Melayu seperti apa yang berlaku di Vietnam yang asalnya adalah negara orang Melayu Champa.

Dengan semua di atas, NASIONALIS ingin menegaskan di sini iltizam dan janji NASIONALIS untuk sentiasa meletakkan bangsa Melayu di kedudukan istimewanya dalam negara ini. Inilah asas yang kukuh kepada perjuangan NASIONALIS dalam membangunkan negara tercinta ini.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp