TERKINI

Al-Imam (Siri 11)

Abdullah bin Haji Jaafar : Perjuangannya

kaum-muda lestarihikmah.com

Kebetulannya pula pada awal abad ke-20 itu, negeri Johor muncul sebagai salah sebuah negeri yang
maju di Tanah Melayu.

Al-Imam telah menyeru pihak pemerintah di negeri itu supaya menjalankan pemerintahan dan rancangan yang mendatangkan faedah dan manfaat bagi kerajaannya dan isi negerinya sekalian.

Al-Imam telah memberi penghargaan terhadap usah-usaha dan langkah-langkah Sultan Ibrahim pada menubuhkan pasukan sukarelawan yang pertama pernah diadakan di negeri ini.54

Menyentuh sedikit tentang kedudukan kaum wanita dalam Masyarakat, Al-Imam telah membuat
perbandingan mengenai keadaan dan fungsi kaum wanita di Amerika dengan wanita Islam, khasnya
wanita Melayu di negeri ini.

Di Amerika kaum perempuan berusaha sendiri mencari jalan hal kehidupan mereka itu. Mereka berusaha hingga pekerjaan yang berat-berat dibuat juga, seperti bekerja dalam syarikat-syarikat membina bangunan-bangunan dan gedung-gedung yang besar-besar di mana mereka sama-sama bekerja memikul batu-bata, kayu-kayu dan alat perkakas binaan bangunan yang kesemuanya merupakan pekerjaan yang berat-berat belaka yang tidak pernah dilakukan oleh kaum perempuan Melayu negeri ini”55

Melihatkan hal yang demikian ini, Al-Imam cuba mencelikkan mata perempuan Melayu. Mereka, walaupun dikecam telah juga diberi galakan dengan digesa supaya “tiadalah sayugianya sentiasa di dalam hal yang malas itu melainkankehendaklah mengerjakan pekerjaan yang munasabah dengan hal mereka itu.”56

Seperkara lagi, pada keseluruhannya sifat-sifat umum orang Melayu telah menjadi sasaran kecaman Al-Imam. Orang Melayu dikatakan terlalu kuat berpegang pada adat yang kolot dan karut, seperti adat
menyembah raja dan orang besar-besar dengan meniarap di tanah iaitu yang masih kedapatan masa itu.

Al-Imam telah menasihatkan pembacanya supaya meneliti dengan kritis akan keburukan pada beberapa
adat dan kepercayaan orang Melayu seperti yang digambarkan di dalam Kisah Pelayaran Abdullah.

Al-Imam menganggap perkara-perkara itu semua “…pendeknya merepak”57 yang sepatutnya dilupakan dan dihapuskan daripada pemikiran orang Melayu.

Oleh itu apa yang harus orang Melayu lakukan sekarang ini ialah sedar dan bangkit kerana telah tibalah
masalah mereka mesti mengorak langkah dan bertindak “bagaimana Jepun telah bua tatas bangsanya
dan Cina baru terkejut dari tidurnya.”

Harus diingat bahawa menjelang abad ke-20 itu rakyat Cina telah sedar dan mula bangun melancarkan tentangan mereka terhadap belenggu kerajan Manchu.

Kang Yu Wei telah menjalankan gerakan islah di kalangan masyarakat Cina yang sedang menghadapi tekanan dari kuasa-kuasa Barat, dan Dr. Sun Yat Sen pula telah melancarkan kempen kesedaran dengan gerakannya untuk membebaskan negeri China.58

Sementara itu, bangsa Jepun pula, setelah ia dapat menundukkan negeri China pada 1895 dan lepas itu, negeri Rusia pada 1905, telah maju dengan cepatnya dengan sifat “penuh kebebasan, cergas, aturan civilised, ilmu kepandaian hikmat.”59

Bersambung


54 Al-Imam, 6 Disember 1907, hlm 198
55 Ibid, hlm 194
56 Ibid, hlm 195
57 Al-Imam, 27 September 1908, hlm 140
58 Ibid, hlm 142
59 Ibid, hlm 143

Facebook
Twitter
WhatsApp