TERKINI

Al-Imam (Siri 8)

Abdullah bin Haji Jaafar
Perjuangannya /7

Gambar hiasan 1920an – kaum muda – foto lestarihikmah.com

Dapat kita lihat bahawa Al-Imam merupakan pejuang pembebasan umat Melayu daripada belengu kejahilan dan kezaliman pemerintah.

Kepada orang ramai ia telah menegaskan, “Bermula Al-Imam ini musuh yang amat bengis bagi sekalian bidaah-bidaah dan khurafat dan ikut-ikutan dan adat yang dicela yang dimasukkan oleh orang pada agama dan telah terguris ia di dalam kebanyakan hati setengah daripada muslimin.

Dan pekerjaannya Al-Imam menyeru sekalian muslimin pada bersekutu dengan membangunkan yang mesti pada kehidupan dunia dan akhirat… seumpana membangunkan sekolah-sekolah…”36

Orang Melayu pula telah digalakkan supaya jangan ragu-rau lagi menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah yang baru itu walaupun dengan belanja yang besar – walau hingga menggadaikan diri sekalipun.

Raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu telah digesa dan dinasihatkan supaya bersikap adil dan menjalankan langkah-langkah untuk memperbaiki keadaan negeri ini. Golongan ulama telah diseru supaya sedar atas sikap konservatif mereka itu.

Golongan orang kaya pula telah digesa supaya bersikap murah hati dengan memberi derma kepada golongan miskin dalam bidang pelajaran. Kepada ibu bapa pula, Al-Imam telah menggalakkan supaya sentiasa melatih anak-anak mereka bersemangat bersatu padu.

Katanya, bangsa Melayu masa itu telah tidak benar-benar bersatu dan sebab itu mereka tidak mungkin beroleh kemajuan dan kejayaan.

Sikap acuh tak acuh pihak Kerajaan British dalam soal Pelajaran telah diselar juga kerana “…tidak sedia bagi mengeluarkan anak-anak negeri yang Islam menjadi lawyer atau doktor, atau engineer atau apa jua tukangan.”37

Bukan itu sahaja, malah sistem pelajaran yang ada, iaitu sistem pelajaran British, telah menjadi bahan kecamannya. Sekolah Kerajaan dan sekolah Melayu yang ada setakat itu dikatakan tidak ada faedahnya kepada anak-anak Melayu manakala sekolah persendirian di bawah kelolaan mubaligh agama Kristian adalah amat tidak cocok dengan kehendak umat Islam. 

Sekolah perniagaan seperti sekolah-sekolah Amerika pula bukanlah bertujuan hendak memberi didikan pelajaran secvara ikhlas dan jujur, tetapi adalah “…dengan kehendak mencari rezeki…”38 Manakala sekolah Cina dan Tamil pula adalah tidak sesuai dengan kehendak orang Melayu.

Bahasa Melayu tidak digunakan dengan luas dalam bidang pelajaran – seolah-olah tidak dipandang langsung oleh pemerintah. Tiada buku-buku yang berguna atau bernilai ditulis dalam Bahasa Melayu.

Tuduhan-tuduhan telah dilemparkan kepada golongan ulama kerana tidak menjalankan usaha menterjemahkan buku-buku yang penting dan yang bernilai ke dalam Bahasa Melayu. Mereka itu asyik dengan menggunakan dan membawa buku-buku dalam Bahasa Arab saja. Itulah sebab yang membawa kemiskinan kepada Bahasa Melayu.39

Menurut Al-Imam, sekiranya terdapat buku Sejarah Islam dalam Bahasa Melayu di kalangan Masyarakat Melayu maka “nescaya dapatlah kita sekarang… merasakan faedahnya.”40

Daripada Sejarah Islam itu boleh diketahui akan tamadun umat Islam dahulu kala dan oleh itu “boleh mengambil teladan oleh raja-raja… dan orang besar-besarnya yang terbalik fikiran menentang tamadun sekarang ini hingga sampai lali tiada hendak mendatangkan faedah bagi kaumnya.”41

Dalam soal pendatbiran negeri pula, menurut Al-Imam, dengan melatih anak-anak negeri menjadi pentadbir dan menggantikan pegawai-pegawai asing dengan pegawai-pegawai anak-anak negeri maka nescaya orang Melayu akan beroleh kemajuan dengan lebih segera.

Memang menjadi kecenderungan Al-Imam mengambil contoh pada negeri Jepun dan Turki kerana kedua-duanya mempunyai beberapa dasar yang sama.

Pertamanya, “pegawai-pegawai dan kakitangan pada tiap-tidap dua Kerajaan itu dijadikan daripada bengsanya”42 dan tidak seperti apa yang terdapat di Tanah Melayu di mana pegawai-pegawai kulit putih menguasai tugas-tugas dan jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran.

Keduanya ialah sebab kedua-dua raja itu berhubung dengan bangsanya, tetapi di Tanah Melayu golongan raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu amat terasing dan mengasingkan diri daripada rakyat jelata.43

Al-Imam sering menekankan perlunya Pelajaran dan bangunan sekolah bagi anak-anak Melayu yang dapat membolehkan anak-anak mengenali ilmu agamanya dengan perjalanan muslihat dunianya; katanya “akan belum didapat oleh Al-Imam suatu suara daripada raja-raja dan orang kaya-kaya kita yang menunjukkan mereka itu ada memikirkan perihal yang wajib di atas mereka itu bagi hak saudaranya yang fakir dan miskin…”44

Kepada raja-raja dan orang-orang besar Melayu Al-Imam mengingatkan bagaimana umat Islam di Tanah Melayu dalam seribu hanya satu yang separuh sempurna dalam agama, dan dalam seratus “hanya satu yang pandai menulis bahasanya sendiri….”45

36 Ibid, hlm, 390

37 Al-Imam, 27 Sept 1908, hlm, 130

38 Ibid

39 Keluaran 14 Mei 1907, hlm 354

40 Keluaran 4 Februari 1908, hlm 260

41 Ibid, hlm 261

42 Keluaran 10 Ogos 1907, hlm 1907

43 Ibid.

  • Penulis ialah kelulusan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya tahun 1970
Facebook
Twitter
WhatsApp